SUKAN

Maniam sedia kemudi PJ City FC yang dibarisi pemain tempatan

30/11/2020 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) mengambil langkah berani dengan membariskan 100 peratus pemain tempatan dan lebih ramai pemain muda dijangka akan diberikan tempat dalam skuad itu pada saingan Liga Super 2021.

Ketua Jurulatih Skuad Phoenix yang baharu dilantik, P Maniam berkata sudah tiba masanya pemain muda tempatan meningkatkan mutu permainan serta keupayaan mereka, terutamanya di posisi penting seperti di bahagian tengah serangan dan pertahanan yang kebiasaannya dikuasai pemain import.

Bekas pakar taktik Selangor dan skuad bawah 16 tahun kebangsaan itu menjangkakan kira-kira 60 peratus pemain dari musim 2020 akan dikekalkan untuk musim hadapan, di samping itu beliau sudah mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Darren Lok dari Terengganu.

Maniam, yang sebelum ini adalah penolong jurulatih dan menggantikan K Devan, akan memanggil beberapa pemain Piala Presiden kelab itu untuk menjalani latihan bersama pasukan utama dan berkemungkinan  akan diserap.

"Tidak mustahil untuk bermain tanpa pemain import. Sekarang pemain tempatan juga berpeluang membuktikan nilai mereka. Ini bermakna mereka tidak boleh berfikir untuk bermain secara individu, sebaliknya perlu bermain sebagai satu pasukan dan meningkatkan mutu permainan mereka untuk mencapai hasilnya.

Kami mahukan pemain nombor sembilan (penyerang utama) yang boleh mengawal bola dan menjaringkan gol dalam situasi genting. Kami mempunyai Darren, yang mengintai peluang untuk kembali ke pasukan kebangsaan, selain mengekalkan M Kogileswaran Raj dan P Yugan," kata pengendali berusia 52 tahun itu kepada Bernama dalam wawancara pertamanya selepas dilantik sebagai ketua jurulatih.

Kelab yang berpangkalan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu akan mengekalkan beberapa pemain seperti pemain pertahanan Jeremy Lim Wei Shen serta pemain tengah berpengalaman Mahali Jasuli, D Christie Jayaseelan dan K Gurusamy.

Senarai penuh pasukan itu dijangka akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu lagi memandangkan rundingan masih lagi berlangsung.

Maniam, bekas penyerang Selangor pada era 90-an, berharap dapat memulakan saingan pramusim lebih awal sebelum Liga Malaysia bermula pada akhir Februari.

"Kami belum memutuskan tarikh perlawanan pramusim tetapi mahu memulakannya lebih awal kerana kami mempunyai pasukan yang dibarisi secara keseluruhannya pemain tempatan. Pemain memerlukan masa untuk gel dan lebih banyak masa latihan untuk mencabar pasukan yang lebih unggul dalam liga.

Kami mempunyai beberapa pemain senior seperti Gurusamy, yang dapat membimbing dan menjadi contoh bagi pemain-pemain muda. Saya rasa musim ini kami akan bermain dengan baik di bahagian pertahanan,  tidak banyak dibolosi, bagaimanapun kami perlu meningkatkan bahagian serangan," kata beliau.

PJ City FC menduduki tempat ketujuh daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super yang dipendekkan musim ini, namun tersingkir seawal pusingan pertama dalam saingan Piala Malaysia dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Terengganu, sebelum pertandingan berprestij itu dibatalkan kerana peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan di negara ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan