AM

BERNAMA FC DAPAT TAJAAN HARUNGI DUA KEJOHANAN

18/07/2024 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) FC menerima tonik terbaik menjelang dua kejohanan bakal disertai selepas rangkaian Klinik Syifa 24 Jam melanjutkan tajaannya bagi tahun kedua berturut-turut.

Pengarah Urusan Klinik Syifa 24 Jam Muammar Eusouffi Zainol Abidin berkata pihaknya bersetuju menaja RM10,000 buat kelab itu mengharungi Kejohanan Bola Sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) pada 19-21 Julai dan Kejohanan Bola Sepak antara Media HAWANA, Oktober depan.

“Alhamdulillah ini tahun kedua kami bekerjasama dengan Bernama dalam menaja pasukan bola sepak mereka. Tajaan tahun pertama ialah RM5,000 dan kami naikkan ke RM10,000 untuk tahun ini.

“Kami harap kerjasama ini dapat membantu Bernama FC pergi lebih jauh dalam kejohanan yang mereka sertai,” katanya ditemui selepas majlis suai kenal dan pengumuman penajaan Bernama FC di Wisma Bernama hari ini.

Selain Klinik Syifa 24 Jam, Bernama FC turut mendapat penajaan daripada syarikat percetakan dan pembekal jersi iaitu masing-masing Hotspot Printing dan Firstprint Malaysia berbentuk pakaian latihan dan perlawanan serta barangan cenderahati.

Syarikat berkenaan diwakili Pengarah Urusan Hotspot Printing Muhammad Azwan Jamil dan Eksekutif Pemasaran Firstprint Malaysia Mohamad Sharul Md Sawal yang turut teruja dengan penajaan kali pertama buat Bernama FC.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama merangkap Presiden Bernama FC Arul Rajoo Durar Raj berkata pihaknya berterima kasih dan menghargai tajaan diberikan syarikat terlibat.

“Dua penaja (Hotspot Printing dan Firstprint Malaysia) yang hadir hari ini telah menyatakan kesediaan untuk menaja bukan sahaja bola sepak Bernama tetapi pasukan lain seperti badminton, bola jaring dan Bernama Bikers Club,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi  Azlina Aziz.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan