AM

Peneroka Ladang Tennamaram minta kerajaan negeri selesaikan isu pajakan tanah

07/04/2021 02:33 PM

BESTARI JAYA, 7 April  -- Kira-kira 400 peneroka Ladang Tennamaram di Kampung Tanjung Pasir, Bestari Jaya di sini meminta campur tangan Kerajaan Negeri Selangor, dalam menyelesaikan isu tanah yang diusahakan mereka sejak 1965 yang kini telah dipajak kepada dua buah syarikat.

Salah seorang peneroka, K.Siva, 44 tahun berkata, keluarganya sudah 40 tahun mengusahakan tanah di ladang tersebut, yang merupakan pendapatan utama untuk keluarganya.

“Syarikat tersebut kini sedang membina jalan di ladang ini dan kami diberi tempoh masa tertentu untuk mengutip hasil pertanian, sebelum diarahkan keluar,” katanya.

“Kami ini orang miskin, kita cuma mampu bantah dan minta tolong seperti kepada media dan Ahli Parlimen (Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar) untuk mendengar masalah kami. Selama 40 tahun kami berada di sini ini dan ini adalah punca rezeki kami,” katanya.

Noh dalam pada itu berkata, tanah ladang di Kampung Seri Makmur seluas 320 hektar itu, telah ditawarkan kepada dua syarikat tersebut sebagai tanah rizab kerajaan untuk diusahakan bagi tujuan pertanian dan penternakan bagi tempoh 21 tahun.

“Persoalannya adalah mengapa dua syarikat yang ditubuh hanya dalam masa dua bulan iaitu pada Julai 2018, sudah diberikan pajakan itu pada bulan September tahun yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri demontrasi bersama peneroka tersebut sini hari ini.

“Apakah benar syarikat ini mahu mengusahakan pertanian ataupun dia ada niat lain, kerana dihujung tanah tersebut ada sungai dan kita bimbang takut mereka mahu mengorek pasir di sana,” katanya.

Noh turut meminta, agar kerajaan negeri melihat semula status tanah tersebut dan menarik semula pajakan yang diberikan kepada kedua-dua syarikat berkenaan.

“Saya juga akan mendapatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas peneroka ini membuat laporan kepada pihak berkuasa itu sejak 2019,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan