AM

KPKT PERLU KERJASAMA KERAJAAN NEGERI SEDIAKAN TANAH UNTUK BINA PPR

25/07/2024 08:51 PM

PUTATAN, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan kerjasama kerajaan negeri termasuk Sabah untuk menyediakan tanah yang sesuai sebagai lokasi membina projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata KPKT akan memberi keutamaan pelaksanaan pembinaan PPR, yang bakal dinaik taraf kepada Program Residensi Rakyat (PRR), untuk negeri yang menyediakan tanah bagi tujuan itu.

Beliau berkata ini bagi memastikan peruntukan yang disalur bagi projek itu digunakan sepenuhnya untuk membina rumah berkualiti tinggi tanpa perlu mengeluarkan kos membeli tanah.

"Dasar KPKT sangat jelas, kerajaan negeri yang sudi serahkan tanah kepada KPKT akan diberi keutamaan untuk membina PPR. 

"Kita mahu membina perumahan mampu milik terbaik dan memastikan kualitinya ada. Oleh itu, kerjasama antara negeri dan Persekutuan sangat penting," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Tamu Putatan hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri serta Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.

Nga juga berkata sebanyak 32 tapak di beberapa negeri telah diserah kepada KPKT setakat ini untuk proses penilaian bagi menentukan kesesuaian pembangunan PPR.

Beliau turut memaklumkan akan bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor esok bagi membincangkan tanah yang terlibat untuk pelaksanaan projek PPR di Sabah.

Nga berkata KPKT telah membina sebanyak 38 projek PPR di Sabah iaitu negeri paling banyak memiliki kemudahan perumahan kos rendah setakat ini.

"Permintaan rumah di Sabah sentiasa dekat di hati kementerian dan kita sedang muktamadkan dengan kerajaan negeri iaitu jika serah tanah, prosedurnya KPKT akan hantar pasukan teknikal untuk lihat tapak sesuai atau tidak. 

"Kita ingin membina perumahan bersepadu dengan pelbagai kemudahan. Saya yakin akan ada kerjasama erat dengan negeri demi kepentingan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan