AM

Jaringan telekomunikasi, COVID-19 punca bancian Sabah masih rendah

07/04/2021 02:42 PM

KOTA KINABALU, 7 April  -- Jaringan telekomunikasi dan penularan COVID-19 merupakan antara sebab utama peratusan penduduk Sabah yang dibanci masih rendah berbanding negeri lain di Semenanjung, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata hanya 20 peratus daripada lebih 3.9 juta penduduk Sabah telah dibanci hingga Isnin lepas berbanding Johor pada 61.8 peratus, Perak (58.5 peratus) dan Kelantan (55 peratus), malah katanya Putrajaya hingga kini mencapai 99.4 peratus penduduk telah dibanci.

"Angka itu (20 peratus) tidak bermaksud pembanci tidak melaksanakan tugas dengan sebaiknya, saya faham pembanci mempunyai kekangan yang tinggi...kita (Sabah) menghadapi masalah infrastruktur dan jaringan telekomunikasi menyebabkan respons (bancian) penduduk dalam talian amat rendah.

"Ditambah dengan insiden COVID-19 sejak tahun lepas kita hadapi kekangan...namun saya percaya jumlah tersebut akan berjaya ditingkatkan apabila Banci Bersemuka mula dilaksanakan bila kes COVID-19 reda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri program Malaysia Prihatin: Sesi Libat Urus Bersama Pembanci di Borneo di sini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang juga Ketua Perangkawan Malaysia.

Ditanya apakah kepentingan proses banci itu dalam usaha menambah baik infrastruktur untuk penduduk di Sabah, Arthur berkata melalui data dikumpul dalam Banci Malaysia 2020 yang dijalankan hingga 30 Jun ini, perancangan keperluan negara dan negeri dapat dibuat sebaiknya bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Dalam proses (banci) kita boleh mendapatkan justifikasi tentang keperluan pembangunan seperti sekolah dan sebagainya, dan dalam membuat perancangan mengenai sesuatu pembangunan kerajaan memerlukan data, banci inilah yang akan membantu kerajaan," katanya.

Beliau berkata apa yang menarik untuk Sabah, sebanyak 163 etnik telah diletakkan dalam proses Banci Malaysia 2020 antaranya Samar Layun, Tagalog dan Biasaya berbanding 17 etnik pada Banci 2010.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperlihatkan bahawa tiada golongan yang terciri daripada arus pembangunan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan