EKONOMI

ECERDC, UniSZA sasar 100 Orang Asli bagi latihan keusahawanan empower ECER

08/04/2021 02:08 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 8 April -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasar untuk melatih 100 Orang Asli tahun ini menerusi program latihan kemahiran dan keusahawanan di bawah inisiatif empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pengurus Projek empower ECER UniSZA, Roslie Zakarya @ Derahman berkata penglibatan masyarakat Orang Asli dalam program itu merupakan kali pertama sejak pelaksanaannya pada 2013 dalam usaha melahirkan komuniti yang mempunyai ciri-ciri usahawan.

Beliau berkata latihan selama enam bulan itu antara lain memberi pendedahan mengenai teknik pemasaran dalam talian selain melatih selok-belok dan cara menyesuaikan diri untuk berdepan dengan pelanggan.

"Ia melibatkan tiga daerah iaitu Temerloh dan Bentong di Pahang serta Mersing di Johor yang mana mereka berpeluang memperoleh ilmu bermanfaat serta mengalami pengalaman sebagai usahawan secara percuma. 

"Justeru, saya berharap agar masyarakat Orang Asli di daerah tersebut akan merebut peluang keemasan ini dengan menyertai kursus tersebut sekali gus meningkatkan pendapatan masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.

Roslie berkata program berkenaan menawarkan sembilan kursus termasuk pembuatan kek dan pastri; peningkatan kapasiti usahawan jahitan, dandanan dan penggayaan rambut; masakan dan penyediaan makanan serta program khas komuniti Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA).

"Selain itu, kursus usahawan digital, juruteknik penyelenggaraan, program khas keusahawanan komuniti dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Pelancongan Mersing (MTA), serta program khas keusahawanan komuniti dengan kerjasama LKIM dan Persatuan Nelayan kawasan Endau berkaitan pembangunan produk hasil laut juga ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata tarikh tutup permohonan adalah pada 15 April depan.

ECERDC merupakan badan berkanun yang ditubuhkan bagi menerajui pelaksanaan ECER merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

empower ECER merupakan inisiatif serampang dua mata di bawah program Pembangunan Modal Insan yang merangkumi program latihan kemahiran dan keusahawanan yang menyasarkan golongan belia dan dewasa berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik, selain program latihan akademik yang menumpukan pelajar berprestasi lemah dan sederhana daripada keluarga berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan