AM

Lebih 150 Usahawan Meriahkan Mini KUD@D'Bendang Sungai Rambai 9 Hingga 11 Ogos

26/07/2024 06:15 PM

JASIN, 26 Julai (Bernama) -- Lebih 150 usahawan tempatan dan luar Melaka akan memeriahkan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@D’Bendang bersempena dengan penganjuran Festival D'Bendang 2024 pada 9 hingga 11 Ogos depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata program selama tiga hari berlangsung di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai itu turut disertai usahawan dari pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Berhad.

"Mini KUD@D'Bendang merupakan antara kelainan yang dibawa pada penganjuran tahun ini bagi memeriahkan lagi festival selain terdapat gerai berkonsepkan kafe dan karavan akan menjadi tarikan kepada pengunjung.

"Antara jualan ialah makanan, kraftangan, produk industri kecil dan sederhana (IKS). Secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada usahawan mempromosi dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak program di Kampung Parit Penghulu Benteng di sini hari ini.

Menurut Siti Faizah, bersempena dengan penganjuran kali kedua Festival D'Bendang itu, sebanyak 39 acara akan dijalankan termasuk sukan tradisional seperti basikal titi, tarik tali bendang, pukul bantal, tangkap itik, gagau ikan, liga futsal dan bola jaring, pertandingan memasak dan larian ria. 

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan merasmikan program berkenaan pada 11 Ogos, yang berkonsepkan ekopelancongan dan agropelancongan dalam usaha memperkenalkan Sungai Rambai kepada pelancong luar.

Katanya, sekiranya program dianjurkan itu berjaya, pihaknya berharap KKDW menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dapat menyokong penganjuran Festival D’Bendang Sungai Rambai sebagai acara tahunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan