SUKAN

Liga Super: Kedah DA FC kecundang di laman sendiri

10/04/2021 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 9 April  -- Kedah Darul Aman (DA) FC gagal menggunakan peluang bermain di laman sendiri untuk merampas takhta Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tewas 2-1 di tangan Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini

Pasukan pelawat sepatutnya berada di depan pada minit ke-32 namun sepakan percuma oleh Mohamad Hakimi Abdullah sekadar singgah di palang gol walaupun penjaga gol Kedah DA FC, Mohd Shahril Sa’ari telah tertewas.

Kemudian, kesilapan pemain pertahanan Terengganu FC  Muhammad Mohd Faudzi mengundang padah apabila beliau tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-40 berpunca hantaran dari sebelah kanan oleh pemain tengah import Kedah DA FC,  Rabih Ataya.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Terengganu FC menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh David  Da Silva pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas percubaan Carlos Alberto Martinez De Murga dalam kotak penalti terkena tangan Muhammad Ariff Farhan Md Isa.

Muhammad Azam Azmi Murad melepaskan sepakan deras untuk gol kedua Terengganu FC pada minit ke-59 selepas menyempurnakan lorongan menarik ke dalam kotak penalti oleh Mohamad Faisal Abdul Halim.

Kedah DA FC terus dirundung malang apabila dilayangkan dua kad merah selepas Mohd Fadzrul Daniel  Mohd Nizam dan Rodney Celvin Akwensivie dibuang padang pada masa kecedaraan separuh masa kedua.

Mohd Fadzrul dihukum selepas mempertikaikan keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pelawat di dalam kotak penalti manakala Rodney pula mengasari seorang pemain gantian pelawat, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob.

Kemenangan dilakar Terengganu FC membantu mereka untuk melonjak ke tangga ketiga liga dengan 15 mata manakala Kedah DA FC kekal di tangga kedua liga dengan 16 mata.

JDT kekal di tangga teratas liga dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan.

Sementara itu, satu-satunya aksi Liga Premier menyaksikan pendahulu liga, Negeri Sembilan FC tewas mengejut 3-2 di tangan Kelantan United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi.

Tuan rumah berada di depan seawal minit pertama menerusi jaringan penyerang Mohamad Zaquan Adha Abd Razak sebelum pemain import, Alfusainey Gassama menjaringkan gol penyamaan buat Kelantan United FC pada minit ke-20.

Negeri Sembilan FC kemudian dikejutkan dengan layangan kad kuning kedua oleh pengadil kepada Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-45 yang menyaksikan pasukannya terpaksa bermain 10 orang selepas beliau diarah keluar padang.

Alfusiney Gassama sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-51 sebelum Negeri Sembilan FC kembali menyamakan kedudukan lapan minit kemudian hasil jaringan Alain Thierry Akono Akono.

Mohamad Hariz Kamarudin memastikan Kelantan United FC mengutip tiga mata penuh apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-64 untuk kemenangan ketiga selepas tujuh perlawanan.

Negeri Sembilan FC menungguli persada liga dengan 14 mata, hanya kelebihan satu mata dengan Johor DT II manakala Kelantan United FC menduduki tangga kelima dengan 10 mata selepas tujuh perlawanan.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan