AM

Persepsi dana wakaf hanya untuk manfaat orang Islam harus diperbetul

13/04/2021 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 13 April -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa supaya diperbetulkan salah faham mengenai dana wakaf yang dikatakan hanya memberi manfaat dan dikhususkan bagi orang Islam.

Presidennya Adnan Mat berkata konsep wakaf adalah untuk kesejahteraan umat manusia secara keseluruhan dan pihaknya berharap Yayasan Wakaf Malaysia dengan penglibatan Majlis Agama Islam negeri-negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan penglibatan rakyat terutama masyarakat bukan Islam, supaya bersama-sama terlibat dalam pembangunan dana wakaf.

"Persepsi mengenai dana wakaf hanya khusus untuk umat Islam sahaja perlu ditangkis dalam pemikiran rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra kepada masyarakat bukan Islam.

“Dalam konteks perkhidmatan awam pula, Cuepacs berharap semua ketua jabatan memainkan peranan aktif dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji. Salurkan info secara jelas mengenai peranan dan kepentingan berwakaf agar penjawat awam lebih jelas mengenai potongan gaji yang mereka lakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau turut menyeru kira-kira 1.6 juta penjawat awam untuk terlibat dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara berkala dan sukarela bagi mengukuhkan peranan wakaf demi pembangunan ekonomi negara serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Adnan berkata langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 untuk melakukan potongan gaji wakaf tunai secara sukarela bagi pegawai awam yang berkhidmat di Persekutuan dan Negeri merupakan satu kemudahan yang perlu dimanfaatkan oleh semua penjawat awam. 

"Bayangkan sekiranya 1.6 juta penjawat awam menyumbang purata RM10 seorang pada setiap bulan untuk sumbangan wakaf, sudah tentu sekitar RM192 juta setahun mampu dikumpulkan ke dalam dana wakaf tersebut setiap tahun melalui penjawat awam sahaja.

"Bagaimanapun usaha yang lebih berkesan perlu dilakukan kerajaan terutama Yayasan Wakaf Malaysia bagi meyakinkan dan menggalakkan penglibatan penjawat awam terutama mereka yang bukan beragama Islam," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 hari ini berkata bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara, satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan