EKONOMI

SCIB PEROLEH KONTRAK BERNILAI RM162 JUTA UNTUK PROJEK PPAM DI PERAK

25/07/2024 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, meraih kontrak bernilai RM162 juta bagi membangunkan projek perumahan penjawat awam (PPAM) di Mualim, Perak.

Pakar dalam sistem bangunan perindustrian itu berkata kontrak 23 bulan itu diterima daripada Awana JV Suria Saga Sdn Bhd.

Projek berkeluasan 48.56 hektar yang merangkumi beberapa lot tanah di Mukim Hulu Bernam Timur, Mualim itu akan dibina dalam dua fasa, dengan Fasa 1A merangkumi 346 unit rumah teres mampu milik satu tingkat (jenis B) dan 28 unit bangunan kedai dan pejabat dua tingkat.

"Sementara itu, Fasa 1B terdiri daripada 455 unit rumah teres mampu milik dua tingkat (jenis A)," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan SCIB Ku Chong Hong berkata kontrak tersebut bukan sahaja akan mengukuhkan portfolio syarikat dalam sektor pembinaan, malah menguatkan komitmennya untuk menyumbang dalam landskap perumahan mampu milik Malaysia.

"Kami yakin dengan keupayaan kami untuk membina ruang kediaman yang berkualiti serta memenuhi piawaian pembinaan dan kemampanan alam sekitar," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan