AM

Program Rekalibrasi dibuka kepada majikan subsektor perkhidmatan

22/04/2021 05:08 PM

PUTRAJAYA, 22 April -- Kerajaan bersetuju membuka Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk pendatang tanpa izin yang ada di negara ini kepada majikan dalam subsektor perkhidmatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Subsektor perkhidmatan terlibat ialah restoran, kargo, borong dan runcit, serta pembersihan dan pencucian, katanya. 

Menurutnya, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa bersama antara beliau dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mengenai pengurusan pekerja asing kali ke-5, Bil. 1/2021, di sini hari ini  

“Keputusan ini dibuat bagi membantu pihak kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara dengan segera dan bagi mengelakkan sektor-sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan perkhidmatan mengalami kerugian besar akibat masalah kekurangan tenaga kerja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu bersama Saravanan.

Kerajaan sebelum ini melancarkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja bagi menjadikan pendatang tanpa izin yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, hanya majikan dalam empat sektor yang bersifat 3D iaitu dangerous, difficult dan dirty (kotor, bahaya dan sukar) dibenarkan mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja dan hanya warga asing dari 15 negara sumber seperti Thailand, Kemboja, Nepal, Myanmar dan Bangladesh.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata syarat kelayakan penyertaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja juga diperluaskan kepada pendatang tanpa izin yang telah mendaftar Program Rehiring dan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).

“Ini merangkumi mereka yang tidak melengkapkan proses permohonan serta tidak menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui program tersebut.

“Penyertaan juga diperluaskan kepada pendatang tanpa izin yang lari tetapi tidak dilaporkan oleh majikan dan mereka yang mempunyai dokumen perjalanan negara asal yang tulen dan sah,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju melibatkan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang berlesen di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan program itu.

“Bagaimanapun, majikan masih perlu hadir di Jabatan Imigresen bagi melaksanakan semua urusan  seperti pengambilan biometrik dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata mesyuarat jawatankuasa turut memutuskan supaya moratorium hingga 31 Dis tahun ini diberikan kepada warga asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan untuk memperoleh PLKS Jangka Pendek.

“Selepas tarikh tersebut, PLKS Jangka Pendek adalah diwajibkan bagi semua warganegara asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan,” katanya.

Mesyuarat jawatankuasa juga mengambil maklum bahawa Jemaah Menteri pada 7 April lepas telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh sah laku PLKS selama setahun kepada pekerja asing sedia ada dalam sektor perladangan, katanya.

“Pelanjutan ini hanya diberikan kepada pemegang PLKS yang hampir tamat tempoh bagi tahun ke-13 dengan kadar levi tahun terakhir.

“Kita umumkan pelanjutan ini kerana kita tidak mahu sektor yang beri pulangan paling besar dalam negara ketika ini mengalami kerugiaan,” katanya, serta menambah pihaknya menerima memorandum yang menyatakan kerugian hampir RM10 bilion jika tiada pekerja dalam sektor itu.

Hamzah berkata pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu akan dapat membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan seterusnya mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

Katanya perbincangan akan diadakan dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai sektor yang perlu diberi keutamaan bagi pemvaksinan.

“Kita akan buat jadual kepada mereka, cuma sekarang kita mahu mereka (warga asing) keluar supaya kita dapat buat pemutihan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan