KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) memperoleh kontrak bernilai anggaran RM80 juta bagi pemerolehan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan perubatan di sebuah hospital pakar yang dicadangkan di Johor Bahru.
SCIB menjelaskan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada Kencana Heathcare Sdn Bhd (KHSB) itu bertempoh 10 tahun dan mungkin dilanjutkan secara bersama bagi lima tahun seterusnya.
“(Jumlah RM80 juta itu) merupakan peruntukan pembelian maksimum bagi semua peralatan yang akan dibekalkan berasaskan konsesi pajakan peralatan modal,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
SCIB menambah, skop kerja tersebut meliputi penyumberan dan rundingan bagi semua peralatan perubatan berdasarkan senarai bekalan yang akan disediakan KHSB dan disahkan oleh pengendali, Institut Jantung Negara (IJN).
SCIB antara lain diminta menyediakan penyelenggaraan komprehensif selama 10 tahun bermula dari tarikh pemasangan, setuju terima pembekalan atau pentauliahan peralatan tersebut.
“Sebarang keuntungan kepada syarikat akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berasaskan kemajuan projek. Kontrak yang diperoleh itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan SCIB Group sepanjang tempoh kontrak,” menurutnya.
Kontrak itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan/atau mana-mana pihak pengawal selia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial