KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Lebih 400 peserta mengikuti persidangan dan siri kelas pakar teknologi pemasaran, Turbocharge.Live, anjuran Brand Geeks Inc untuk membantu perniagaan menyesuaikan operasi mereka dengan perubahan yang berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Peserta acara dalam talian, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Khamis tu merangkumi 68 peratus adalah daripada perniagaan bukan teknologi, 28 peratus daripada perniagaan teknologi dan empat peratus lagi merupakan peserta dalam kalangan pensyarah dan penuntut.
Hos Turbocharge.Live merangkap Pengasas Bersama Brand Geeks Inc, Manisah Sarujee berkata walaupun ketidaktentuan berlaku dalam tempoh 18 bulan lepas, namun pihaknya memutuskan untuk meneruskan penganjuran acara itu.
“Ia bertujuan membantu pemasar dan pakar teknologi pemasaran mewujudkan jalinan dan kerjasama dalam bidang teknologi pemasaran yang semakin penting, terutama dalam era pandemik.
“Namun, kebanyakan jenama yang pesat membangun ini bergelut untuk menyesuaikan operasi mereka memandangkan ia dianggap sukar dan menakutkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata Turbocharge.Live telah mempermudah teknologi pemasaran, menjadikannya lebih mudah diakses dan memberi impak kepada kelangsungan jenama digital syarikat daripada pelbagai saiz.
Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cradle, Cyberview, MyNEF, myHarapan dan United Overseas Bank (Malaysia) Sdn Bhd (sebagai sebahagian daripada program Jom Transform mereka) merupakan antara rakan bagi acara ini.
Dari segi teknologi pemasaran, Evenesis, Dattel, Airmeet, Supernewsroom, Redbeat Academy, EasyStore, Exabytes dan Inmagine, antara lain, merupakan peserta dan penyokong bagi acara ini.
Pada sesi utama, Presiden AirAsia Digital, Aireen Omar berkongsi pandangannya bersama-sama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital News Asia, Karamjit Singh mengenai topik ‘Menyambut Baik Transformasi sebagai Kit Kemandirian Anda untuk Mengharungi Ketidaktentuan’ dalam konteks normal baharu.
Ketua Brand Geeks Inc, Silmyi M. Sadek berkata menerusi ‘Turbocharge Community on Mighty Network’, pihaknya berharap dapat membangunkan komuniti yang akan giat berusaha selepas acara tiga hari itu berakhir di saming menggunakan pangkalan yang lebih berstruktur dan mampan berbanding dengan sistem pesanan lazim atau kumpulan media sosial lain.
Brand Geeks Inc merupakan perunding penjenamaan dan pemasaran yang ditubuhkan pada 2011 dengan misi membimbing jenama terkemuka yang mengubah dunia.
Melalui pendekatan ‘TurbochargeMyBrand’ yang menjadi milik mereka, Brand Geeks telah membantu beratus jenama yang pesat membangun dan terkenal memperoleh keseimbangan yang baik antara strategi, kreativiti dan penglibatan yang dijana oleh teknologi.
Antara jenama yang telah mendapat perkhidmatan Brand Geeks termasuk MyTeksi, Smart Selangor, Evenesis, Billplz, Dattel, Menara Optometry, Qwork, Fusion Wayang Kulit, Belle Babies Design, Athena Empower, Trisilco, Arus Academy, dan Constellation Ventures, antara lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial