AM

Pejabat NIOSH Kapit penuhi keperluan latihan tenaga kerja projek mega - Wilson

20/11/2021 04:15 PM

KAPIT (Sarawak), 20 Nov -- Pembukaan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini mampu memenuhi keperluan ribuan tenaga kerja dalam projek mega seperti Empangan Hidroelektrik Baleh yang membabitkan aspek latihan kursus pekerjaan dan keselamatan.

Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pejabat cawangan keempat di Sarawak selepas Kuching, Bintulu dan Miri itu akan menyediakan kemudahan seperti latihan keperluan perundangan, kesedaran dan induksi keselamatan pasport keselamatan. 

Beliau berkata ia juga merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan dan kepakaran berhubung aspek kesihatan serta keselamatan pekerjaan kepada masyarakat dan industri di kawasan itu.

“Sebelum NIOSH didirikan di Kapit, majikan dan pekerja terpaksa berulang-alik sama ada ke Miri, Bintulu atau Kuching. Ini melibatkan kos agak tinggi dan mengambil masa berminggu-minggu untuk menyelesaikan sesuatu latihan.

“Sebab itu kita wujudkan cawangan di sini yang merupakan pejabat NIOSH pertama di kawasan pedalaman Sarawak yang turut memberi khidmat nasihat dan rundingan selain menganjurkan program kesedaran,” kata Ahli Parlimen Hulu Rajang itu. 

Wilson berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian pejabat itu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan