AM

Usaha kolektif penting untuk capai sifar rabies menjelang 2030

27/07/2024 11:40 AM

KUCHING, 27 Julai (Bernama) -- Kerjasama strategik dengan agensi berkaitan, komuniti dan pemilik haiwan peliharaan diperlukan untuk membasmi wabak rabies di Sarawak dan mencapai sifar penyakit itu menjelang 2030.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Buckland Bangik berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyumbang kepada usaha kolektif itu.

"Tanggungjawab bukan hanya dalam satu agensi … matlamat boleh dicapai sekiranya semua bekerjasama kerana rabies bukan sahaja masalah saya atau anda tetapi ia masalah kita.

"Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, organisasi bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan paling penting, pemilik haiwan peliharaan amat mustahak bagi menangani masalah ini," katanya ketika berucap pada pelancaran kempen STOP Rabies 2024 di sini malam tadi.

Buckland yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) berkata program kesedaran mengenai wabak rabies dalam kalangan rakyat perlu ditingkatkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada semua pemilik haiwan peliharaan agar menjaga kucing dan anjing mereka seperti ahli keluarga sendiri dengan memberikan vaksin dan menjamin kesihatan dan kesejahteraan haiwan itu.

"Langkah pencegahan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, syarikat vaksin, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengadakan program vaksinasi dan kesedaran di lokasi berisiko tinggi di negeri ini," katanya pada sidang media.

Program yang dianjurkan oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Malaysia One Health University Network itu memasuki edisi kedua bertujuan memupuk amalan kesihatan rakyat Sarawak menerusi pencegahan rabies yang berterusan dan usaha pengawalan wabak itu.

Program yang diadakan susulan kejayaan edisi tahun lepas yang tertumpu di Serian, diluaskan ke tiga daerah iaitu Lundu, Bau dan Kota Samarahan tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan