EKONOMI

Infineon labur dua bilion euro bagi tingkatkan kapasiti di Kulim

17/02/2022 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Pembuat cip Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) sedang mengukuhkan pasarannya dalam semikonduktor dengan menambah kapasiti pengeluaran dalam semikonduktor “wide bandgap” dan melabur lebih daripada dua bilion euro untuk membina modul ketiga di kilangnya di Kulim, Kedah.

Syarikat itu berkata apabila lengkap sepenuhnya, modul baharu itu akan menjana pendapatan tahunan tambahan sebanyak dua bilion euro dengan produk berasaskan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN).

Ketua Pegawai Operasi Infineon, Jochen Hanebeck berkata pengembangan itu sejajar dengan strategi pembuatan jangka panjang syarikat, ia akan mendapat manfaat daripada skala ekonomi yang sudah pun tercapai untuk pembuatan produk berukuran 200 milimeter itu di Kulim.

Ia akan melengkapkan kedudukan Infineon dalam silikon berdasarkan produk berukuran 300 milimeter di Villach di Austria dan Dresden di Jerman.

"Perluasan kapasiti SiC dan GaN kami adalah bagi Infineon untuk mempercepatkan pasaran ‘wide bandgap’. Kami sedang mencipta kombinasi terbaik terhadap pusat kecekapan pembangunan kami di Villach dan pengeluaran kos efektif di Kulim untuk semikonduktor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Apabila siap kelak, Kulim 3 akan mencipta 900 peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembinaan itu akan dimulakan pada bulan Jun dengan fabrikasi itu dijangka siap untuk peralatan tersebut pada 2024.

“Wafer fabrikasi pertama akan dihasilkan pada separuh kedua 2024. Pelaburan di Kulim akan terdiri daripada langkah nilai tambah yang ketara," kata syarikat itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur strategik kami untuk mengukuhkan keunggulan Malaysia sebagai hab semikonduktor utama di rantau ini.

“Malaysia adalah salah satu hab serantau utama Infineon dan pelaburan ini benar-benar membuktikan ekosistem kondusif kami dan keupayaan bakat tempatan kami untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Infineon sudah menyediakan produk berasaskan SiC kepada lebih 3,000 pelanggan pada masa ini.

Syarikat itu mensasarkan hasil sebanyak US$1 bilion dengan semikonduktor berasaskan SiC menjelang pertengahan dekad. Pasaran GaN juga dijangka akan mengalami pertumbuhan besar-besaran daripada US$47 juta pada 2020 kepada US$801 juta pada tahun 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan