EKONOMI

TARIK PELABURAN BERKUALITI TINGGI UNTUK PENAMBAHBAIKAN DALAM GAJI MINIMUM - TIMBALAN GABENOR BNM

31/03/2022 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Perniagaan di Malaysia perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi memastikan penambahbaikan dalam gaji minimum dapat dikekalkan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata daripada segi struktur, pekerja Malaysia mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih rendah yang menyebabkan pekerja gaji lebih rendah berbanding dengan peningkatan produktiviti.

“Gaji minimum adalah dasar penting untuk memastikan pekerja mempunyai keperluan untuk membeli barangan keperluan di negara ini, justeru kita perlu beralih ke arah meningkatkan pendapatan secara mampan yang memerlukan pelaksanaan reformasi struktur,” katanya semasa webinar Perbincangan Panel dan Ucapan Gabenor BNM 2022, hari ini.

Beliau berkata gaji di Malaysia kekal di bawah nilai produktif sebenar dan pekerja cenderung menerima bahagian yang lebih rendah daripada pendapatan negara.

"Oleh itu, penambahbaikan dalam pasaran buruh dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah dengan penambahbaikan akan berlaku secara berterusan dalam pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan," kata timbalan gabenor BNM itu.

Beliau menekankan keperluan untuk mengenakan levi pelbagai peringkat sebagai alat berasaskan pasaran untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing bergaji rendah dan mempertingkatkan dasar pasaran buruh aktif (ALMP) adalah penting untuk memastikan kemampanan peningkatan gaji.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Socio Economic Research Centre, Lee Heng Guie berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan industri dalam menangani isu yang timbul daripada kenaikan mendadak dalam gaji minimum sebelum pelaksanaannya pada bulan Mei.

“Kita harus mempertimbangkan dengan mendalam bahawa dunia berada dalam fasa pasca pandemik dan pemulihan masih lagi tidak sekata. Tidak semua sektor pulih pada kadar yang sama ditambah dengan pelbagai cabaran yang timbul,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan ia akan dilaksanakan di seluruh negara untuk syarikat tertentu berkuat kuasa 1 Mei, 2022.

Kali terakhir gaji bulanan minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari, 2020, apabila ia naik sebanyak RM100 kepada RM1,200.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan