AM

KERJASAMA ANTARABANGSA PENTING DEMI KEADILAN UNTUK MANGSA TRAGEDI MH17- SCHOOF

18/07/2024 12:50 AM

VIJFHUIZEN (Belanda) 17 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Belanda Dick Schoof berkata kerjasama antarabangsa amat penting dalam usaha memperjuangkan keadilan untuk 298 mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati membabitkkan Penerbangan MH17 Malaysia Airlines, 10 tahun lepas.

“Amat penting bagi negara-negara yang terbabit untuk bersatu. Pasukan Penyiasatan Bersama  (JIT) telah digantung namun apabila terdapat maklumat baharu, mereka boleh memulakan tugasan dengan segera. Jadi, kerjasama antarabangsa adalah amat, amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara memperingati mangsa nahas itu yang ke-10 di Monumen Nasional MH17 di Taman Vijfhuizen berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. 

Ditanya sama ada mesej beliau kepada semua mangsa dan ahli keluarga masing-masing ialah mereka tidak harus berputus asa dan berhenti berharap bahawa keadilan pasti ditegakkan suatu hari nanti, Schoof berkata “Mereka tidak akan berputus asa dan terus berusaha… namun tiada sebarang jaminan." 

Beliau juga berkata kesan tragedi nahas MH17 amat besar dan begitu dirasai di Belanda meskipun sudah sedekad berlalu.

Terdahulu, lebih 1,500 ahli keluarga dan rakan mangsa dari seluruh dunia berkumpul di monumen itu untuk memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Turut hadir pada upacara itu ialah Raja Belanda Willem-Alexander. 

Ahli keluarga ternyata tidak dapat menahan perasaan sedih ketika membaca nama kesemua mangsa termasuk anak kapal MH17 yang maut selepas pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014. 

Senarai nama kru pesawat itu dibacakan oleh Scot Choo iaitu anak lelaki juruterbang MH17 Kapten Eugene Choo yang turut terkorban dalam nahas tersebut.

Sejurus membacakan senarai nama semua anak kapal beliau dengan nada sebak mengucapkan, “Terima kasih atas khidmat anda kepada negara. Kami akan terus merindui kamu.”

Kebanyakan penumpang adalah warga Belanda selain dari 17 negara lagi termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Pesawat malang jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol dan mengorbankan kesemua 283 penumpang serta 15 anak kapalnya.

Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhi hukuman penjara seumur hidup secara ‘absentia’ (tanpa kehadiran) ke atas dua bekas ejen perisik Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

Seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan atas tuduhan sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan