EKONOMI

DHL Express belanja RM13 juta buka Pusat Khidmat Prai baharu

17/05/2022 01:33 PM

BATU KAWAN, 17 Mei (Bernama) -- DHL Express, penyedia logistik terkemuka dunia memindahkan Pusat Khidmat Prainya ke fasiliti yang lebih besar bernilai RM13 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, di sini berikutan peningkatan permintaan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di negeri-negeri utara Semenanjung. 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata pusat khidmat baharu itu akan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170 peratus yang membolehkan transit lebih pantas dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan untuk pelanggan di tanah besar Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

“Pusat khidmat baharu ini merangkumi ruang pergudangan dan pejabat seluas 2,386 meter persegi iaitu lima kali ganda lebih besar daripada saiz lokasi sebelumnya dan ia adalah respons terhadap peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran antarabangsa daripada peniaga di wilayah utara.

“Selaras dengan komitmen Deutsche Post Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, fasiliti ini dilengkapi dengan sistem panel solar dan infrastruktur cekap tenaga yang dijangka akan mengurangkan pelepasan gas hijau sebanyak 26.9 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Pusat Khidmat Prai baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini. Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pusat Khidmat Prai sebelum ini di Taman Inderawasih di Perai.

Julian berkata pusat khidmat baharu itu mengendalikan penghantaran domestik dan antarabangsa ke 220 negara dan wilayah di bawah liputan DHL Express.

Beliau berkata fasiliti tersebut turut menyediakan kemudahan "Service Point" untuk pelanggan mengumpul dan menurunkan bungkusan.

Katanya sebagai fasilitator utama dalam rangkaian bekalan global, DHL Express membantu perniagaan tempatan merealisasikan potensi pertumbuhan mereka dengan menembusi pasaran eksport dan Pusat Khidmat Prai yang baharu itu.

“Pelanggan kami berada di kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan percambahan sektor e-dagang dalam segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pasaran perniagaan kepada pelanggan (B2C),” katanya.

Beliau berkata pada Mei 2021, DHL Express telah memperkenalkan laluan terus Hong Kong-Pulau Pinang yang menghubungkan hab tersebut sebanyak lima kali seminggu dengan pesawat Airbus A300 dengan ruang kargo 54 tan ditetapkan khususnya bagi negeri ini apabila komponen dan alat ganti elektronik merupakan sebahagian besar eksportnya.

“Penerbangan itu bukan sahaja akan menambah kapasiti tetapi turut memendekkan masa transit pergi balik dari bandar-bandar berkenaan.

“Malah, penyertaan dalam dagangan luar negara boleh membawa daya tahan, pembangunan mampan dan pekerjaan berkualiti untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri gembira melihat DHL Express bertapak lebih kukuh di Pulau Pinang kerana ia dapat menyokong perkembangan perniagaan tempatan yang kini dilihat berlaku  peningkatan dalam jumlah jualan luar negara.

“Pelaburan DHL Express menunjukkan keyakinan mereka terhadap negeri ini yang secara keseluruhannya memberi manfaat kepada ketersambungan strategik kami ke Asia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan