SUKAN

Pan Gon 'terpikat' potensi Shahrul Nizam

21/05/2022 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Keputusan memanggil pemain Terengganu FC Shahrul Nizam Ros Hasni menyertai kem latihan pusat menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan adalah sebagai usaha memilih barisan terbaik skuad Harimau Malaya.

Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon berkata pemain pertahanan berusia 24 tahun itu berpeluang untuk menilai potensinya dalam melengkapkan senarai 30 pemain yang dipanggil ke kem latihan hari ini.

Selain Shahrul Nizam, beliau turut memanggil pemain Petaling Jaya FC V Ruventhiran, 21, bagi menggantikan pemain Negeri Sembilan FC Khair Jefri Jones yang terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi bersama kelabnya pada saingan Liga Super minggu lepas.

“Kami memanggil Ruventhiran dan Shahrul Nizam kerana mereka pemain muda dan amat berpotensi. Berdasarkan pelan taktikal, kita mahu lihat sama ada mereka sesuai atau tidak,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan memanggil pemain bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan untuk menyertai kem latihan, Pan Gon berkata skuad B-23 negara akan memberi tumpuan kepada kejohanan di Uzbekistan selepas ini.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan skuad B-23 negara meskipun gagal melangkah ke final Sukan SEA ke-31 selepas tewan tipis kepada Vietnam, semalam.

“Kami menyokong skuad B-23 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan berikutnya tapi saya sangat gembira melihat potensi pemain muda negara dan akan menunggu masa sesuai apabila mereka diserapkan ke skuad senior kebangsaan,” katanya.

Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun.

Kedua-dua perlawanan persahabatan itu adalah sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil bulan depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan