AM

PENDUDUK SIFATKAN BANJIR KILAT DI SEREMBAN ANTARA TERBURUK DALAM TEMPOH DUA TAHUN

25/05/2022 02:37 PM

SEREMBAN, 25 Mei (Bernama) -- Penduduk Kampung Ismail di sini menyifatkan banjir kilat yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut malam tadi antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.

Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77, berkata kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

“Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu siren banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.

“Dua minggu lepas ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lepas, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Khairulnizam Ahmad, 47, pula berkata kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.

Beliau berkata anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban Mohd Nizam Tajul Arus berkata hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan