AM

HAWANA 2022: PENGAMAL MEDIA PERLU CIPTA SEMULA EKOSISTEM KEWARTAWANAN

30/05/2022 12:31 PM

MELAKA, 29 Mei (Bernama) -- Pengamal media perlu ‘mencipta semula’ ekosistem pengoperasiannya selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) supaya dapat memastikan kerjaya kewartawanan kekal relevan, kata Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.

Beliau berkata ini kerana dunia kewartawanan semakin berdepan dengan cabaran yang sukar diduga terutamanya perkembangan teknologi komunikasi serta kewujudan pelbagai platform media sosial.

“Kita dulu beroperasi cara lain tetapi sekarang konteks dan tools sudah berbeza…dulu perlukan wartawan, soundman, jurukamera dan sebagainya untuk melaporkan satu acara iaitu satu bentuk pengoperasian yang tidak dapat dielakkan seperti televisyen.

“Dulu sebelum wujudnya teknologi seperti hari ini…saya membayangkan ‘super newsroom’ yang segalanya berlaku dalam newsroom itu, ertinya pemprosesan dan sebagainya tetapi hakikatnya kini wujudnya ‘bagpack journalism’ atau satu orang boleh buat perubahan dengan aplikasi yang ada dalam telefon pintar,” katanya.

Johan berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum HAWANA 2020 bertajuk ‘Kewartawanan 2030: Mengintai Landskap Masa Depan Media’ di Hotel Hatten, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pemain industri tidak menitikberatkan atau bersedia menghadapi cabaran sebegini, maka mungkin kerjaya kewartawanan dilihat tidak lagi relevan kerana diambil alih oleh media baharu.

“Keadaan kini sudah berubah, dulu (sesuatu berita) perlu tunggu esok seperti surat khabar, tetapi hari ini semuanya tepat masa…jadi kalau tidak mempersiapkan diri kita dengan kemahiran dan kepakaran, sudah tentu akan ketinggalan,” katanya.

Forum itu turut membariskan dua lagi panelis iaitu Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dan Ketua Pemberita Daily Express Hayati Dzulkifli.

Ahmad Murad berkata dunia kewartawanan tidak boleh dilihat tunduk dengan kewujudan teknologi baharu, yang dilihat dapat menghakis profesion itu.

Beliau berkata ketika ini kewartawanan telah hilang aspek pendapat apabila ia tidak lagi mampu menyaingi kepantasan berita.

"Satu lagi aspek ataupun dimensi yang mungkin lebih penting daripada berita itu sendiri adalah pendapat, bermaksud tafsiran, komentar mahupun ulasan… itu yang dah hilang dari dunia kewartawanan (ketika ini). Ia dah dirampas oleh digital media. Kita jangan diperhambakan oleh perkembangan-perkembangan tadi," katanya.

Beliau turut menyarankan agar organisasi media mempunyai bilik ratifikasi sendiri untuk membuat analisis mengenai 'kebenaran' sesuatu berita terutama yang tular di media sosial yang dilihat menghakis nilai-nilai kewartawanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan