EKONOMI

INSULET LABUR AS$200 JUTA DALAM TEMPOH LIMA TAHUN DI JOHOR

02/06/2022 06:01 PM

KULAI, 2 Jun (Bernama) -- Insulet Corporation, peneraju global dalam teknologi pam insulin tanpa tiub, akan melabur kira-kira US$200 juta (AS$1=RM4.38) dalam tempoh lima tahun di kemudahan pembuatan baharunya di Johor.

Usaha itu turut menjadi sebahagian daripada strategi syarikat bagi memperkukuhkan lagi kemampuan pembuatannya di peringkat global.

Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasinya, Charles Alpuche berkata kilang baharu dengan ruang pembuatan seluas kira-kira 400,000 kaki persegi di Gelang Patah itu akan mengeluarkan Sistem Pengurusan Omnipod syarikat berkenaan.

Menurutnya, kemudahan berkenaan dijangka beroperasi menjelang pertengahan 2024.

“Insulet berhasrat menggaji lebih daripada 500 pekerja sepenuh masa apabila kilang berkenaan beroperasi sepenuhnya. 

“Kilang baharu di Malaysia ini akan membantu dari segi menyokong pertumbuhan syarikat yang pantas selain rancangan inovasi yang mantap serta pengembangan global.

“Ciri-ciri reka bentuk kemudahan terbabit termasuk elemen mampan yang layak dari segi Inisiatif Bangunan Hijau (GB) dan pensijilan Peneraju Dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED),” katanya pada majlis pecah tanah bagi kemudahan tersebut di sini, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu bercakap pada sidang media kemudiannya, Onn Hafiz berkata menyifatkan pelaburan tersebut sebagai pencapaian penting bagi kemajuan Johor selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk warganya.

“Kami menjangkakan Johor akan menerima lebih banyak pelaburan dalam bulan-bulan akan datang, sebagaimana dinyatakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan meneliti usaha bagi mengurangkan karenah birokrasi untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Johor.

“Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) akan memastikan kalangan perniagaan akan terus menikmati kemudahan menjalankan usaha mereka secara lancar dan Johor kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menawarkan kehidupan berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan