KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Perwakilan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) diseru agar membuat pilihan yang tepat dalam menentukan presiden baharu badan induk sukan itu bagi penggal 2022/2025 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 12 Jun ini.
Timbalan Presiden KOM Datuk Mumtaz Jaafar berkata amat penting bagi perwakilan membuat penilaian bijak bagi menentukan hala tuju serta masa depan olahraga negara yang lebih baik.
Selain berkaliber, legenda olahraga negara itu berkata presiden baharu perlu mempunyai komunikasi dua hala yang baik bersama ahli KOM demi kebaikan badan induk itu.
Mumtaz berkata presiden juga perlu memastikan atlet kekal berdisiplin tinggi agar mereka kekal fokus dalam usaha mengharumkan nama negara dalam mana-mana kejohanan mahupun temasya sukan antarabangsa.
“Semestinya, tak boleh dapat 100 peratus yang bagus namun, presiden perlu ada hubungan baik dengan persatuan di peringkat negeri selain dhormati di peringkat antarabangsa seperti Olahraga Dunia,” katanya kepada Bernama.
Perebutan kerusi nombor satu di KOM akan menyaksikan saingan antara penyandang, Datuk SM Muthu dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs).
Muthu menjadi Presiden KOM sejak 2019 manakala Shahidan sebelum ini pernah memegang tampuk kepimpinan badan induk itu dari 2006 hingga 2012.
Dalam pada itu, Mumtaz memaklumkan tidak dapat mempertahankan jawatannya selaku timbalan presiden selepas badan induk negerinya iaitu Persatuan Olahraga Selangor dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau yakin calon timbalan presiden baharu iaitu Datuk Fadzil Abu Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran mampu menjalankan tugas dengan baik memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pengalaman baik dalam sukan olahraga.
Walaupun tidak bersama KOM selepas ini, Mumtaz yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata beliau tetap akan menabur bakti terutamanya dari segi mencurahkan idea bagi membangunkan sukan olahraga negara sekiranya diperlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial