AM

JPS, Perbadanan Labuan teruskan usaha bersih Sungai Gersik

01/08/2022 05:15 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 1 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan dan Perbadanan Labuan (LC) terus giat menjalankan usaha bagi membersihkan Sungai Gersik yang tercemar. 

Pengarah JPS Labuan Juniaddi Awang Tuah memberitahu Bernama terdapat rancangan untuk membina pintu kawalan air pasang bagi menghalang air laut melimpah semula ke dalam sungai ketika air pasang.

Beliau berkata penduduk penempatan kampung air menafikan bahawa mereka membuang sampah ke dalam sungai dan air pasang dikatakan sebagai punca pencemaran tersebut.

Katanya, pembersihan secara gotong-royong juga kurang berkesan.

Menurut Juniaddi, satu program pembersihan sungai yang melibatkan penduduk kampung akan diadakan sebelum hujung tahun ini. 

Katanya benteng balak telah dipasang di sungai itu dan ia menunjukkan sampah sarap datang daripada muara dan kawasan penempatan air.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif LC Rithuan Ismail berkata pembuangan sisa sewenang-wenangnya ialah punca utama pencemaran Sungai Gersik.

Beliau menggesa orang ramai menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai tersebut.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang didapati membuang sampah di kawasan awam di bawah Undang-Undang Kecil (Mencegah Kekotoran) 1992.

Rithuan berkata LC bercadang untuk menganjurkan kempen ‘Cintai Sungai Kita’ dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan JPS bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan sungai dan alam sekitar serta mengetengahkan keadaan kritikal pencemaran sungai-sungai di Labuan.

“Kita mesti menyedari bahawa sungai bukanlah tempat pembuangan sampah dan sisa buangan akan memberi impak negatif kepada alam sekitar. Kita mesti berganding bahu dalam menjaga sungai kita,” katanya.

Beliau berkata menyemai rasa sayang dan prihatin terhadap sungai ialah penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan