EKONOMI

Safetyware Group mula disenarai di Pasaran LEAP pada harga 20 sen

09/09/2022 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Safetyware Group Bhd iaitu penyedia penyelesaian keselamatan dan kesihatan bersepadu, memulakan penampilan sulung di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini dan dibuka pada 20 sen sesaham -- mencatatkan premium lima sen atau 33 peratus berbanding harga rujukannya sebanyak 15 sen.

Pada loceng pembukaan, syarikat itu menyaksikan kira-kira 10,000 sahamnya didagangkan.

Penyenaraian kumpulan itu adalah yang kelima di Pasaran LEAP dan ke-26 di Bursa Malaysia tahun ini.

Pengarah Urusan Wong Kee Wei berkata penyambungan semula aktiviti ekonomi menyediakan peluang yang lebih besar untuk pertumbuhan syarikat kerana pelaburan akan mencurah masuk daripada pelbagai industri.

“Dengan lebih banyak kilang kembali beroperasi, permintaan terhadap produk keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga akan meningkat.

“Selain itu, perniagaan kami bukan sahaja tertumpu kepada Malaysia tetapi juga rantau ASEAN. Kami turut merancang untuk memasuki pasaran baharu, iaitu negara di Timur Tengah dan rantau Afrika,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.

Wong berkata ekonomi sedang pesat membangun menunjukkan minat keselamatan yang semakin meningkat dan justeru itu, peraturan keselamatan serta kesihatan mereka telah menjadi lebih ketat.

"Kami berpendapat lebih mudah untuk memasuki pasaran-pasaran ini berbanding pasaran matang yang telah dikuasai oleh pemain terkemuka dan lebih besar,” kata Wong.

Kumpulan itu membekalkan lebih 3,000 jenis produk termasuk kasut keselamatan, pakaian keselamatan, topi keledar keselamatan dan alat pernafasan.

Ia telah mengeksport produknya ke lebih 20 negara termasuk China, Kanada, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand.

Sehingga kini, Safetyware mempunyai sembilan pejabat jualan di seluruh Malaysia termasuk Singapura.

Wong berkata hasil daripada penyenaraian itu yang berjumlah RM6.48 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan untuk segmen pembuatan kumpulan selain ia juga akan membuka lebih banyak kedai runcit untuk meningkatkan liputan pengedarannya.

"Kami berharap dapat memasuki Pasaran ACE dalam tempoh tiga tahun akan datang," tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan