SUKAN

SKUAD BOLA SEPAK WANITA SARAWAK UJI KETAHANAN DI THAILAND, MISI CIPTA SEJARAH DI PENTAS SUKMA

16/07/2024 12:24 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Dua kelab bola sepak dari Thailand akan menguji ketahanan dan prestasi skuad bola sepak wanita Bumi Kenyalang dalam menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nanti, menerusi perlawanan persahabatan antara 20 dan 24 Julai ini di Bangkok.

Pengurus pasukan negeri bagi acara itu Francis Uling Majoi berkata pencapaian pasukan Sarawak di negara Gajah Putih itu bakal menjadi penanda aras kedudukan sebenar pemain dalam mendepani temasya dwitahunan bermula 17 hingga 24 Ogos depan.

“Kita akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab bola sepak wanita bawah 21 tahun dari Thailand iaitu Jaifa Academy dan Jap Phon Plem sebagai persediaan sebelum berentap dalam SUKMA,'’ katanya kepada Bernama.

Beliau menyifatkan peluang untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu sebagai bonus buat pasukan Sarawak, kerana pemain di sana kebanyakannya dilatih di akademi berprestasi tinggi. 

“Kita mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman di luar negara supaya pemain dapat beraksi dalam apa jua keadaan… juga sebagai fasa terakhir latihan iaitu kita kenal pasti kelebihan serta kekurangan barisan 23 pemain ini menjelang SUKMA 2024,” katanya kepada Bernama.

Edisi SUKMA kali ini menyaksikan Sarawak bakal berentap dalam Kumpulan A yang turut melibatkan Sabah dan Pahang, manakala Kumpulan B merangkumi pasukan Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. 

“Pemain kita berusia dalam lingkungan 16 hingga 21 tahun, tiada pemain kebangsaan dalam pasukan Sarawak, tapi kita percaya satu hari nanti pasti ada,” katanya yang memberi keyakinan penuh kepada kepimpinan ketua jurulatih Sufian Ibrahim dalam mengendalikan pasukan bola sepak wanita. 

Sementara itu Sufian mengakui misi menggengam emas di pentas SUKMA bukan sesuatu yang mudah untuk skuad Sarawak, namun kelebihan bermain di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya. 

Berbaki kurang sebulan sebelum SUKMA 2024 membuka tirai, Sufian berkata kesemua pemain menjalani persediaan rapi daripada segi latihan teknikal serta taktikal selain persiapan mental, fizikal dan jati diri sejak Februari lepas. 

Acara bola sepak wanita bermula pada 13 Ogos depan di sini dijadualkan berlangsung di dua gelanggang iaitu Stadium Negeri dan Padang D, Petra Jaya. 

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sarawak pernah menjadi tuan rumah SUKMA  sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan