AM

Jadi mangsa keganasan rumah tangga: Wanita OKU mental mohon bantuan rumah, bilik sewa murah

28/09/2022 11:53 PM

IPOH, 28 Sept (Bernama) -- Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental, yang mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga, memohon bantuan mana-mana pihak untuk menyediakan rumah atau bilik pada harga murah kerana sudah tidak sanggup tinggal bersama suaminya. 

Mangsa, 36, yang hanya ingin dikenali sebagai W, berkata dia berkenalan dengan suaminya, 40, melalui segmen kenalan di majalah dan berumah tangga pada 2014.

“Semuanya tidak seindah yang disangka apabila suami saya mula menunjukkan sisi gelapnya dua minggu selepas perkahwinan dengan perlakuan membuang dan mencampak barang di dalam rumah serta memukul saya.

“Kini, saya mendapat bantuan bayaran sewa rumah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450... saya ingin keluar dari rumah ini serta memulakan hidup baru dan memohon bantuan orang ramai yang sudi menawarkan rumah atau bilik pada harga yang rendah kepada kami,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lebih memilukan, emak W yang berusia 62 tahun dan berkerusi roda selepas kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis turut menjadi mangsa dera apabila lelaki itu ingin melepaskan kemarahan.

“Dia mencampakkan kerusi roda ke arah saya dan emak sehingga mendapat perhatian jiran... mereka kemudian menelefon ambulans dan membawa kami ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

“Saya tidak pernah membuat laporan polis sehinggalah jururawat yang merawat saya dan emak melakukannya kerana merasakan kami telah didera,” katanya.

Wanita itu berkata suaminya sudah tiga kali ditahan polis namun dibebaskan kerana tiada bukti kukuh dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata isu itu perlu diberi keutamaan oleh semua pihak serta perlu segera dilaporkan agar tidak berlanjutan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan