DUNIA

PALESTIN GESA ISRAEL HENTIKAN PROGRAM NUKLEAR

01/11/2022 10:44 AM

RAMALLAH, 1 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki pada Isnin menggesa Israel menghentikan  program nuklear bagi mewujudkan zon bebas senjata nuklear, lapor Xinhua.

Al-Maliki berkata demikian sebagai reaksi kepada langkah Jawatankuasa Pertama Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi dikemukakan Mesir yang menggesa Israel menghapuskan senjata nuklearnya.

Sambil menyambut baik penerimaan resolusi itu, beliau berkata: "Israel bertanggungjawab menetapkan programnya untuk dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerana ia satu-satunya pihak di Timur Tengah yang memiliki senjata pemusnah besar-besaran terutamanya senjata nuklear."

Beliau berkata penting bagi Israel untuk mematuhi peraturan undang-undang antarabangsa yang berkaitan. 

Media Israel melaporkan pada Isnin, Jawatankuasa Pertama Perhimpunan Agung PBB memutuskan Israel harus memusnahkan senjata nuklearnya.

Resolusi yang dikemukakan Mesir dan disokong Jordan, Maghribi, Pihak Berkuasa Palestin dan Bahrain itu turut mahu Israel meletakkan kemudahan nuklearnya di bawah pengawasan IAEA.

Jawatankuasa Pertama itu ialah satu daripada enam jawatankuasa utama PBB yang menangani isu pelucutan senjata nuklear global.

Dalam langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jawatankuasa itu menggesa Israel untuk segera bersetuju dengan Perjanjian Percambahan Senjata Nuklear, tidak membangunkan, mengilang, menguji dan berhenti memperoleh senjata nuklear.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan