DUNIA

Piala Dunia: Korea Selatan tumpaskan Portugal, mara ke pusingan kalah mati

03/12/2022 11:24 AM

DOHA, 3 Dis (Bernama) -- Pemain simpanan Korea Selatan Hwang Hee Chan menyumbang gol kemenangan buat negaranya untuk menundukkan Portugal 2-1 pada pusingan akhir Kumpulan H Piala Dunia di sini pada Jumaat, sekali gus menempah tiket ke Pusingan 16. 

Keputusan di Stadium Education City itu bermakna Korea Selatan layak ke peringkat kalah mati  selaku naib juara mengetepikan Uruguay di tangga ketiga dengan perbezaan jumlah jaringan, lapor Xinhua.

Walaupun tewas mengejut, Portugal masih mendahului kumpulan dengan enam mata.

Portugal mendahului perlawanan seawal minit kelima, apabila Ricardo Horta menjaringkan gol hasil hantaran lintang Diogo Dalot.

Korea Selatan yang perlu menang untuk berpeluang layak ke pusingan seterusnya cuba merapatkan jurang pada minit ke-17 namun, jaringan Cho Gue Sung dibatalkan kerana ofsaid.

Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 hasil sepakan sudut Son Heung Min yang memberikan Kim Young Gwon peluang terbuka untuk membolosi gawang lawan. 

Jaringan Hwang pada masa kecederaan memastikan kemenangan Korea Selatan 2-1 ke atas Portugal.

Korea Selatan menyertai Jepun dan Australia untuk menjadi pasukan AFC ketiga yang mendapat tempat dalam pusingan kalah mati.

Mereka akan menentang pemenang Kumpulan G Isnin depan manakala Portugal bertemu pasukan di tempat kedua dari Kumpulan G Selasa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan