BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 EKONOMI

KOREA SELATAN BERHASRAT TINGKATKAN HUBUNGAN EKONOMI DENGAN TERENGGANU

19/07/2024 01:13 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Korea Selatan berhasrat untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan Terengganu dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen, dan ruang rantaian bekalan.

Duta negara itu ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap Terengganu sebagai antara empat negeri utama dalam bidang CCUS serta pengetahuan Korea Selatan dalam sektor itu dilihat mampu memanfaatkan kedua-dua pihak.

“Terengganu mempunyai sumber asli yang banyak seperti gas dan minyak. Ia mempunyai ruang menyimpan karbon dioksida, seperti telaga minyak bawah tanah dan kemudahan terminal yang tidak beroperasi.

“Korea Selatan, dengan kepakaran teknologi bertaraf dunia dan pengetahuan dalam CCUS, mampu menjadi rakan kongsi dalam usaha Terengganu untuk menjadi pemain ekonomi utama dalam sektor ini,” katanya kepada Bernama.

Yeo dan delegasinya kini dalam rangka lawatan dua hari untuk Forum Perniagaan Korea-Terengganu dan Festival K-Cultural.

Beliau dalam pada itu berkata syarikat Korea Selatan memiliki teknologi yang terbaik dalam sektor hidrogen dan terdapat permintaan yang besar untuk hidrogen bersih.

Memandangkan kekuatan institusi Korea Selatan dalam bidang hidrogen dan dasar Terengganu, hidrogen dijangka menjadi satu lagi bidang kerjasama antara mereka, katanya.

“Terengganu kaya dengan sumber mineral termasuk unsur nadir bumi dan syarikat Korea Selatan juga mula membeli sumber mineral seperti silika dari Terengganu, bahan penting untuk membuat kaca.

“Saya sudah pun mencadangkan beberapa idea kepada kerajaan negeri seperti program perkongsian ilmu dan projek perundingan awal untuk pensijilan hidrogen bersih. Program-program ini boleh disokong sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan,” katanya.

Yeo berkata beliau juga sedang berusaha untuk memudahkan kemasukan lebih banyak syarikat dari negara itu ke Terengganu untuk menyertai syarikat sedia ada seperti LX International, CJ Chemical dan Polaris.

Beliau turut menunjukkan minat Korea Selatan dalam pembangunan sumber manusia Terengganu, satu daripada elemen penting untuk pembangunan ekonomi dan bakal memberi impak kepada generasi masa depan negeri itu.

“Tahun lepas, 10 guru Korea Selatan dihantar ke lima sekolah di Terengganu selama tiga bulan untuk mengajar subjek tentang kecerdasan buatan, maklumat, komunikasi dan teknologi dan mekanik. Bulan depan (Ogos 2024), seramai sembilan guru akan mengajar semula di empat sekolah di sini.

“Oleh itu, Kedutaan Korea Selatan akan terus menggiatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan dan kebudayaan dengan Terengganu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan