AM

Johor harap HSA 2 tersenarai dalam belanjawan akan datang di bawah kerajaan baharu

04/12/2022 02:09 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor berharap pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 tersenarai dalam belanjawan yang akan dibentangkan di bawah kerajaan yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata pembinaan hospital baharu itu diharapkan menjadi kenyataan, selepas ia tidak tersenarai dalam Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Okt lepas.

Beliau berkata pembinaan hospital baharu itu pentingb kerana kadar penggunaan katil di dua hospital utama di Johor Bahru iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI), kini telah melebihi 80 peratus dan tidak mampu menampung pertambahan pesakit.

“Mengikut statistik kadar penggunaan katil di dua hospital itu masih belum mampu untuk menampung pesakit dengan kadar penggunaan katil 80 peratus ke atas, jadi dengan kepadatan di hospital tersebut kita sangat memerlukan hospital baharu.

“Oleh itu, saya mewakili negeri Johor berharap, agar kerajaan baharu ini dan juga Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dapat membantu kita dalam menjadikan projek HSA 2, menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Ling berkata pihaknya difahamkan terdapat beberapa perkara yang timbul termasuk masalah tapak untuk pembinaan HSA 2, namun kerajaan negeri telah mengambil inisiatif mencadangkan tapak lain bagi pembinaan hospital baharu itu.

“Tanah telah disediakan, saya telah dimaklumkan sebab tidak tersenarai untuk belanjawan tahun hadapan kerana disebabkan ada rumah setinggan di kawasan tersebut.

“Jadi, cadangan daripada kerajaan negeri ialah supaya kita menggunakan tapak di sebelah yang tidak meliputi rumah setinggan tersebut, jadi dengan itu kita dapat membina hospital baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Ling berkata Hospital Pasir Gudang yang kini dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Pada 12 Ogos, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Hospital Pasir Gudang dijangka siap sepenuhnya pada November 2024, manakala HSA 2 pula akan diumumkan secara rasmi pada belanjawan 2023.

Khairy dilapor berkata dengan pembinaan Hospital Pasir Gudang dan HSA 2, ia akan dapat membantu mengatasi kesesakan khususnya di dua hospital utama di Johor Bahru itu iaitu HSA dan HSI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan