AM

ANUGERAH MCMC: PLATFORM PENYEDIA PERKHIDMATAN KE ARAH KECEMERLANGAN - FAHMI

22/12/2022 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan mempunyai ruang untuk penambaikan dalam penyampaian perkhidmatan serta memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan, berdasarkan penilaian bagi Anugerah Penarafan Bintang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap ia akan menjadi faktor pendorong kepada semua penyedia perkhidmatan untuk berusaha mencapai kecemerlangan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan untuk manfaat pengguna.

Beliau berkata pengukuran Penarafan Bintang MCMC merangkumi aspek kewangan dan bukan kewangan iaitu dengan mengiktiraf kecemerlangan penyampaian perkhidmatan berdasarkan pengukuran parameter termasuk Kepuasan Pengguna, Kualiti Perkhidmatan, Rangkaian Pelaburan dan Pematuhan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setiap parameter membawa wajaran berbeza bergantung kepada kepentingan dan wajaran tertinggi diperoleh daripada suara pengguna melalui parameter ‘Kepuasan Pengguna’.

“Bagi memastikan daya maju dan kebolehpercayaan keputusan, data yang digunakan bagi setiap parameter telah melalui penilaian menyeluruh daripada pakar dan perunding bebas dilantik untuk anugerah ini bagi mengelakkan sebarang ketidaktepatan dalam keputusan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Penarafan Bintang MCMC 2021 di sini malam ini.

Anugerah Penarafan Bintang 2021 diadakan bagi meraikan industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier yang telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat di samping memastikan pertumbuhan sosioekonomi.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Sementara itu, Fahmi berkata pada suku ketiga 2022, langganan telefon bimbit berjumlah lebih 47.2 juta iaitu peningkatan 800,000 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata kadar penembusan telefon bimbit bagi setiap 100 penduduk menyaksikan peningkatan tertinggi bagi suku ketiga iaitu 143.7 peratus berbanding 142.1 peratus pada suku ketiga 2021, walaupun berlaku penurunan drastik pada suku pertama 2022 sebanyak 139.8 peratus.

Untuk langganan stesen televisyen berbayar (TV) seperti IPTV dan satelit, langganan mencatat lebih 6.54 juta pada suku ketiga tahun ini, iaitu peningkatan 200,000 berbanding tahun lepas.

“Menariknya, adalah Kadar Penembusan TV Berbayar menyaksikan beberapa turun naik mengejutkan, daripada 82.2 peratus pada suku ketiga 2021, 78.8 peratus pada suku pertama 2022 dan 81 peratus pada suku ketiga 2022,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan