AM

RM209 JUTA NAIK TARAF JAMBATAN MERENTASI SUNGAI KERIAN

12/01/2023 07:09 PM

NIBONG TEBAL, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM209 juta bagi menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian serta pembinaan jejambat merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian dalam usaha menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak dan mengatasi masalah banjir kilat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tarikh milik tapak projek ini adalah pada 8 Julai 2021 dan dijangka siap pada 2 Feb 2025.

"Dari segi kemajuan kerja, terdapat sedikit kelewatan sebanyak enam peratus setakat 31 Dis tahun ini, bagaimanapun, kos projek tiada perubahan memandangkan tempoh kelewatan tidak besar.

"Kelewatan itu disebabkan oleh isu pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti. Isu ini sedang diselesaikan di peringkat pihak berkuasa tempatan," katanya kepada media selepas melawat tapak projek itu, di sini, hari ini.

Katanya, skop utama projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35 kilometer yang merupakan projek menaik taraf persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT001/FT283.

Selain itu, Alexander berkata ia juga melibatkan kerja-kerja membina sebuah jejambat di persimpangan USM FT001 dan satu jambatan baharu di Sungai Kerian.

Katanya, projek ini bakal membantu dalam penyuraian trafik di sebahagian FT001 dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak, mengatasi masalah banjir kilat dan sekaligus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna laluan tersebut.

Semasa lawatannya ke Pulau Pinang, beliau turut mengadakan lawatan ke Pejabat Operasi Jambatan Kedua Sdn Bhd., untuk mendengar taklimat berkenaan operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.

Katanya, LLM Wilayah Utara memainkan peranan dalam mengawal selia 57 lokasi persimpangan bertingkat, 12 lokasi Kawasan Rehat & Rawat (R&R), 23 lokasi hentian sebelah dan enam lebuh raya sepanjang 522.2km.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan