AM

Tiada Keretakan Di Lebuhraya Spe - Kkr

08/06/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras, di sini.  

KKR menerusi kenyataan ringkas di platform X hari ini, memaklumkan pemeriksaan pada 11.30 malam tadi mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.

"Konsultan juga telah mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan dikemukakan kepada LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia)," menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan pemeriksaan itu dibuat oleh LLM, syarikat konsesi SPE dan pihak konsultan EDP, selain turut dimuat naik di platform media sosial itu ialah gambar semasa pemeriksaan dilakukan. 

Semalam, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini 

Ciapan itu mendapat reaksi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi itu, kerana keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya menjadi keutamaan.  

SPE yang dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat serta menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan