AM

MALAYSIA-SINGAPURA PERKUKUH KERJASAMA PERLINDUNGAN DATA, KESELAMATAN SIBER DAN EKONOMI DIGITAL

03/02/2023 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) ke-6 mengenai Kerjasama Maklumat dan Komunikasi antara Malaysia dan Singapura hari ini mengeratkan lagi hubungan baik dan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, dalam satu kenyataan bersama berkata mesyuarat itu susulan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura, Isnin lepas.

Dihoskan oleh Malaysia tahun ini, JCM dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek dan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura Joseph Leong hari ini.

Menurut kenyataan itu, semasa JCM, Mohammad dan Leong berkongsi perspektif mereka tentang kepentingan pendigitalan ketika ekonomi Malaysia dan Singapura beralih ke fasa endemik COVID-19, serta aktiviti jangkauan awam dan penglibatan setiap kerajaan semasa wabak itu.

“Malaysia dan Singapura sentiasa mengiktiraf JCM sebagai platform berguna untuk meningkatkan kerjasama dua hala, menangani cabaran utama dan yang paling penting, mempercepatkan pemulihan ekonomi berikutan COVID-19.

“Kedua-dua negara berkongsi pandangan bahawa peningkatan penggunaan teknologi digital semasa pandemik menunjukkan peluang untuk meningkatkan ekonomi digital dan meningkatkan capaian ketersambungan korporat dan individu.

“Kesannya, keperluan terhadap ruang dalam talian yang selamat dan terjamin semakin penting,” menurut kenyataan itu, memaklumkan bahawa JCM seterusnya akan dihoskan oleh Singapura pada 2024.

Dalam kenyataan sama, Mohammad berkata Malaysia komited untuk memacu ekonomi digital yang inklusif, progresif, saksama dan mampan untuk kebaikan rakyatnya, kerana yakin ekonomi digital adalah asas penting untuk pemulihan ekonomi dalam tempoh ini.

“Perbincangan mesyuarat mengenai masa depan kerjasama maklumat dan komunikasi digital, serta dalam bidang perlindungan data antara kedua-dua negara, sangat menarik dan produktif, dan kami telah mengorak langkah besar ke arah mencapai visi dan objektif bersama,” katanya.

Sementara itu, Leong berkata Singapura mengalu-alukan kerjasama erat berterusan dengan Malaysia untuk memanfaatkan faedah, dan pada masa sama menangani cabaran, ruang digital yang berkembang, termasuk melalui perbincangannya di JCM dan MoU yang ditandatangani baru-baru ini mengenai perlindungan data peribadi, keselamatan siber, dan ekonomi digital.

“Kami berkongsi minat yang sama dalam mewujudkan ruang dalam talian yang lebih selamat untuk rakyat, memudahkan sambungan rentas sempadan dan aliran data untuk perniagaan kami, dan mengembangkan ekonomi digital kami,” tambahnya.

Bersempena JCM, Malaysia juga akan menganjurkan Muzika Ekstravaganza ke-14 esok, pelbagai penerbitan tahunan bersama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Mediacorp Singapura.

Acara itu akan diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura Josephine Teo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan