AM

Lazada Perkasa Kecerdasan Buatan Bantu Perkembangan Perniagaan Kecil

26/07/2024 09:01 PM

PETALING JAYA, 26 Julai (Bernama) -- Lazada Malaysia antara platform e-dagang utama di Asia Tenggara, komited membantu perniagaan kecil berkembang dengan penggunaan kecerdasan buatan atau AI. 

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia Zed Li berkata AI mampu membantu perniagaan kecil memperbaiki operasi mereka, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti platform itu.

Beliau berkata Lazada turut memfokuskan kepada peningkatan kualiti penjual dengan membawakan teknologi canggih tanpa bayaran.

“Kami telah memperkenalkan banyak perkara baharu selain AI, bagi meningkatkan kualiti penjual di dalam platform. 

“Kami mempunyai senarai peralatan pintar AI untuk membantu penjual memperbaiki kualiti, imej dan deskripsi produk di dalam platform, yang secara tak langsung membantu jualan dan memberikan insentif kepada pembeli agar memberikan ulasan yang baik, yang seterusnya membantu meningkatkan lagi jualan,” katanya pada sidang media perasmian Persidangan Penjual Lazada, di sini, hari ini.

Persidangan Penjual Lazada yang dihadiri 1,000 peserta dari seluruh negara dirasmikan Menteri Digital Gobind Singh Deo itu, merupakan program untuk penjual di bawah Lazada terlibat dalam pelbagai program termasuk pameran, persembahan dan diskusi.

Li berkata Lazada menyediakan ujian A/B secara percuma, yang membolehkan perniagaan kecil yang tidak mampu untuk melakukannya dan ini akan dapat membantu meningkatkan jualan mereka.

Platform ini turut menyediakan pengajaran percuma untuk penjual bagi membantu mereka mengembang dan meningkatkan perniagaan mereka.

“Kami mempunyai Lazada Universiti yang menyediakan kursus percuma kepada penjual, bukan sahaja secara dalam talian malah secara bersemuka dan penjual dapat membantu antara satu sama lain,” katanya.

Lazada juga bersedia memastikan setiap perniagaan berkembang bersama dan platform ini mempunyai kemampuan untuk membantu setiap orang berjaya, walaupun aspek mengenai e-dagang mungkin berubah dalam masa lima hingga 10 tahun lagi.

Sementara itu, Timmy Kok pemilik syarikat pakaian Adam Zero berkata menerusi latihan dan sokongan Lazada, dia telah menguasai aliran kerja dari prestasi pengiklanan, penyampaian kempen hinggalah kepada membuat analisis kewangan.

Kok yang mula menjual di platform Lazada pada Ogos 2021 berkata dia komited untuk membantu  penjual lain dan berkongsi pengalamannya bagi membantu perkembangan perniagaan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan