AM

CADANGAN PENUBUHAN SURUHANJAYA KESELAMATAN SIBER MALAYSIA DIJANGKA DIBENTANG DI PARLIMEN JUN INI

19/02/2023 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Cadangan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia kini dalam peringkat sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan pelbagai aspek perundangan yang berkaitan serta bentuk suruhanjaya itu sendiri.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berharap cadangan penubuhan itu dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini selepas mendapat kelulusan Kabinet serta pengurusan tertinggi.

“Saya menjangkakan sekiranya perlu diwujudkan suruhanjaya ini, ia makan masa setahun atau dua tahun, ia bukan begitu cepat.

“Tetapi fungsi atau bidang kuasa tugas (mengawal keselamatan siber) dipikul badan seperti CyberSecurity Malaysia (CSM) akan diteruskan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Khatan Perdana Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.

Selain itu, Fahmi juga berhasrat untuk mengkaji semula dasar kriptografi negara untuk memperkemas semula aspek keselamatan data di negara ini.

Katanya kriptografi melibatkan penyulitan (encryption) yang merupakan kunci keselamatan data dan ketika ini, negara-negara lain telah mula melaksanakan dasar baharu melibatkan kriptografi kuantum iaitu bidang matematik yang lebih advance.

Pada Januari lepas, Fahmi dilapor berkata KKD berhasrat menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber di negara ini.

Berkenaan Majlis Khatan Perdana Parlimen Lembah Pantai yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Fahmi berkata program berkenaan diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun di kawasan Parlimen itu bagi membantu golongan B40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan