AM

PROGRAM KEMBALI KE SEKOLAH PERNAS MANFAATKAN 250 PELAJAR ASNAF

10/03/2023 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seramai 250 pelajar daripada golongan ansaf hari ini menerima bantuan persekolahan sumbangan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menerusi program ‘Kembali ke Sekolah.’

Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 200 adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai manakala 50 lagi dari Sekolah Rendah Agama Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Bangsar.

Beliau berkata bantuan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama Pernas tahun ini dan ia membuktikan agensi kerajaan sentiasa peka serta komited dengan keperluan masyarakat.

“Pernas memperuntuk zakat wakalah sebanyak RM107,800 untuk disumbangkan kepada mereka melalui pengagihan barangan keperluan sekolah seperti baju, stoking, kasut sekolah, alat tulis serta wang tunai berjumlah RM100 seorang.

“Inisiatif CSR Kembali ke Sekolah ini juga adalah sebagai tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan asnaf dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar sekolah yang majoriti adalah kategori miskin bandar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Hazimah berkata Pernas juga telah beberapa kali melaksanakan inisiatif CSR bersama SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkatnya dengan menyalurkan sumbangan kepada pihak sekolah bagi menambah baik infrastuktur bilik-bilik khas di premis itu.

Beliau berkata usaha itu diharap dapat membantu pihak sekolah dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelajar agar mereka mampu menjalani sesi pembelajaran dengan lebih selesa.

Katanya Pernas turut mempunyai beberapa inisiatif CSR lain yang akan dilaksana tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.

Turut hadir pada program Kembali ke Sekolah itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Pernas Mohammad Akmal Md Husin, Pengetua SMK Seri Pantai Faridah Akhma Zulkifli dan Pengetua Sekolah Rendah Agama Ar-Rahah Azzah Mohd Amir.

Pernas adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan