AM

800 PEKERJA DOMESTIK INDONESIA TIBA DI MALAYSIA MELALUI ONE CHANNEL SYSTEM

23/03/2023 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Seramai 800 pekerja domestik Indonesia telah memasuki Malaysia melalui One Channel System sehingga 20 Jan lepas.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, ia selepas kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia memeterai Memorandum Persefahaman Penggajian dan Perlindungan Pekerja Domestik Indonesia di Malaysia, pada 1 April 2022.

Menurut KSM, memorandum persefahaman tersebut telah memperuntukkan jaminan dan perlindungan bayaran upah kepada pekerja domestik Indonesia.

“Gaji permulaan bulanan di bawah memorandum persefahaman ini, tidak boleh kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang berkuat kuasa di negara ini iaitu RM1,500,” menurut KSM bagi menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), mengenai bilangan pekerja domestik Indonesia yang datang bekerja di Malaysia melalui One Channel System.

Kementerian itu menyatakan memorandum persefahaman berkenaan juga memperuntukkan perlindungan dan kebajikan kepada pekerja domestik Indonesia, antaranya meliputi hak kepada notis penamatan kontrak pekerjaan, cuti tahunan berbayar, cuti rehat mingguan, waktu rehat serta perlindungan sosial, termasuk insurans.

“Pemantauan ke atas pelaksanaan memorandum persefahaman termasuk kos penempatan dan tarif fi agensi pekerjaaan swasta di Malaysia dan agensi pekerjaaan swasta di Indonesia, dilaksanakan melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) di antara kedua-dua negara,” menurut jawapan KSM itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan