EKONOMI

Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA tawar pelaburan bermanfaat kepada Malaysia, AS

24/03/2023 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Syarikat pemula niaga teknologi Malaysia yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA Mei ini akan mempromosikan pelaburan yang dapat memberi keuntungan bersama.

Ia boleh mewujudkan hasil situasi ‘menang-menang untuk Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kata Penolong Setiausaha Perdagangan untuk Pasaran Global dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Komersial AS dan Asing, Arun Venkataraman.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam satu kenyataan hari ini berkata Venkataraman memberitahu bahawa AS menawarkan persekitaran perniagaan yang membolehkan syarikat pemula niaga berkembang maju.

“Saya teruja dapat bertemu dengan wakil-wakil syarikat yang menyertai acara Pitch Malaysia USA Series dan mengalu-alukan penyertaan mereka,” katanya.

Pada 18 Mac, Venkataraman melawat Selangor Sandbox untuk perbincangan meja bulat bagi mempromosikan SelectUSA 2023.

Perbincangan meja bulat itu dihoskan oleh Sidec dan dihadiri oleh syarikat pemula niaga teknologi seperti Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, Store & Send Logistics Sdn Bhd, Virtualtech Frontier Sdn Bhd, Centre of Applied Data Science Sdn Bhd, Revenue Monster Sdn Bhd, QueueMed Healthtech Sdn Bhd dan Accendo Technologies Sdn Bhd.

Sidec berkata SelectUSA ialah program kerajaan AS yang memudahkan dan mempromosikan pelaburan perniagaan di AS.

“Sidang kemuncak pelaburan SelectUSA adalah acara berprofil tertinggi yang berperanan mempromosikan pelaburan langsung asing (FDI) di AS.

“Sidang kemuncak 2023 tersebut akan menyediakan platform untuk pelabur dari seluruh dunia untuk berhubung dengan organisasi pembangunan ekonomi AS dan mendengar penerangan daripada pemimpin perniagaan mengenai kelebihan melabur di AS,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan