AM

ARAB SAUDI, NEGARA UTAMA TIMUR TENGAH - PM ANWAR

25/03/2023 08:37 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JEDDAH, 25  Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini menganggap negara itu sebagai negara utama bagi Malaysia di Timur Tengah.

Ia merupakan negara luar ASEAN pertama dilawat secara rasmi oleh Anwar sejak menyandang jawatan Perdana Menteri ke-10.

Bercakap pada sidang media di akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Arab Saudi pada Jumaat, Anwar berkata undangan daripada kerajaan Arab Saudi dalam tempoh yang singkat (selepas pelantikannya sebagai perdana menteri) amatlah beliau hargai.

Sehingga kini, Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam masih terjalin begitu baik.

Beliau berkata hubungan diplomatik kedua-dua negara yang akrab sejak dahulu itulah yang beliau mahu terus dapat dipertingkatkan.

Beliau juga berharap melalui hubungan baik ini, Malaysia dapat memperoleh manfaat daripada beberapa gagasan baharu Arab Saudi yang akan menjadikannya bukan sahaja sebagai markas Haji dan Umrah, tetapi juga tahap pemacuan keilmuan dengan Wawasan 2030 yang digagaskan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Sepanjang lawatan rasminya, beliau yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam, di sini.

Beliau turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi

Beliau dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah. 

Anwar berkata pimpinan Arab Saudi juga sebenarnya telah memohon supaya beliau memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara yang baharu menukar jadual mereka menjelang Ramadan. 

“Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.

Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja, 27 Mac ini.

Sementara itu, Anwar dalam hantaran di laman Facebooknya malam ini, menyifatkan lawatan beliau ke Arab Saudi amat positif dengan beberapa perbincangan dibuat bersama komuniti Islam dan perniagaan yang membolehkan hubungan kedua-dua negara terus berkembang.

“Berlepas ke ibu negara bersama Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan delegasi selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi. 

“Insya-Allah saya akan kembali ke Arab Saudi bagi meneruskan hubungan baik yang telah terjalin ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan