AM

DEWAN RAKYAT: RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN SEKSUAL KANAK-KANAK DILULUS

29/03/2023 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu kepada kanak-kanak, diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan dibahaskan 10 Ahli Parlimen.

Menurut Azalina rang undang-undang itu antara lain untuk menggantikan terminologi ‘pornografi kanak-kanak’ kepada ‘bahan penganiayaan kanak-kanak’ dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Sungguhpun kelihatan seperti penggantian istilah sahaja, ia memberi kesan yang besar kepada perspektif dan gambaran tahap keseriusan serta perihal sebenar sifat jenayah eksploitasi dan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu. 

Selain itu, Azalina berkata perkataan pornografi lagi tidak hanya merujuk kepada seksual tetapi juga penggunaan perkataan yang wujud dalam teknologi. 

“Sekarang ni perkataan ‘porn’ tu tidak semestinya perkataan yang kotor. Kalau kita kekalkan perkataan ‘pornografi’ itu, kadang-kadang orang boleh wujudkan sebagai contoh dalam pemikiran kanak-kanak ayat yang wujud dalam teknologi.

“Contohnya ‘food porn’ itu makanan ataupun ‘poverty porn’, jadi tak semestinya pornografi itu hanya kepada seksual. Bila berhadapan kanak-kanak, ketidakfahaman mereka itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka boleh terkeliru untuk memahami bahawa perkara ini boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu ketika membentangkan rang undang-undang itu, Azalina berkata seksyen baharu 15A yang memperuntukan kesalahan mengenai persembahan seks, bertujuan untuk menangani isu seks penstriman langsung yang semakin berleluasa.

Melalui penggubalan seksyen 15A yang baharu, beliau berkata bukan sahaja orang yang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, bahkan semua pihak seperti penganjur, orang tengah, atau mana-mana sindiket yang terlibat dalam melakukan kesalahan persembahan seksual kanak-kanak.

Beliau berkata hukuman yang dicadangkan adalah pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM50,000.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan menambah baik perlindungan terhadap saksi kanak-kanak dengan menaikkan umur daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Rang undang-undang itu juga bertujuan memasukkan peruntukan yang berhubung dengan pendengaran khas (special hearing) bagi saksi kanak-kanak memberikan keterangan serta melarang soalan tidak wajar kepada mereka. 

Azalina ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu bagaimanapun berkata masyarakat setempat terutama jiran tetangga, perlu membantu kerajaan dalam membendung dan mengurangkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.

Menurutnya ini kerana bukan undang-undang sahaja yang perlu diubah untuk memerangi jenayah tersebut, tetapi juga mentaliti masyarakat itu sendiri.

“Selepas ini, bahagian undang-undang akan bercakap dengan Kementerian Perpaduan Negara melalui Bahagian Rukun Tetangga, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan supaya kita memberikan mereka (masyarakat) penerangan untuk membantu kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan