AM

Kerangka kawal selia internet selamat untuk kanak-kanak, keluarga diperkenal 1 Ogos

27/07/2024 06:11 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Kerangka kawal selia baharu berkaitan Internet selamat untuk kanak-kanak dan keluarga akan diperkenal pada 1 Ogos ini dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hari ini memaklumkan ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu mematuhi undang-undang Malaysia bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menerusi kerangka baharu itu, semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kerangka kawal selia baharu ini hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

“Langkah ini bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk pengguna terutama kanak-kanak dan seisi keluarga," katanya.

Suruhanjaya itu memaklumkan sebelum ini, platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan