AM

UBAH GAYA HIDUP, AMALAN PEMAKANAN SIHAT MAMPU CEGAH OBESITI KANAK-KANAK

29/03/2023 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Gaya hidup sihat perlu diterapkan dalam tabiat harian sebagai usaha mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Ch'ng Tong Wooi.

Beliau berkata langkah itu termasuk mengurangkan pengambilan makanan yang diproses dan makanan tinggi lemak atau gula, minum banyak air setiap hari, meningkatkan pengambilan makanan berserat tinggi seperti gandum, buah-buahan dan sayur-sayuran serta bersenam selama 30 hingga 45 minit setiap hari.

“Keluarga juga boleh membentuk corak pemakanan yang sihat, memberi dorongan, menetapkan rutin tidur yang konsisten dan menggantikan masa skrin dengan masa bersama keluarga untuk terus mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi yang dijalankan setiap empat tahun, 50.1 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripadanya mengalami obesiti pada 2019.

Katanya ini bermakna seorang daripada dua orang dewasa pada masa ini mengalami berat badan berlebihan dan 30 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 13 tahun adalah obes.

Menurut Dr Ch’ng, obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang membabitkan risiko mendapat tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung, boleh menyebabkan obesiti dewasa.

Beliau berkata obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh menjejaskan keyakinan diri dan menjurus kepada masalah keresahan dan kemurungan manakala orang dewasa yang mengalami obesiti berisiko diserang strok, kanser, kematian pramatang serta penyakit mental seperti kemurungan klinikal dan keresahan.

“Obesiti berpunca daripada pengambilan kalori melebihi keperluan badan. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak kurang meluangkan masa bermain di luar sebaliknya menghabiskan masa di dalam rumah dengan bermain permainan di telefon bimbit, permainan video atau menonton televisyen,” katanya dan menambah banyak bukti mengaitkan tidur yang tidak mencukupi dengan obesiti.

Sementara itu, pakar diet di pusat perubatan sama, Celeste Lau menjelaskan penyumbang utama obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah makanan tinggi kalori seperti makanan bergoreng yang tinggi kandungan lemak, minuman manis (bergula) dan makanan ringan berkalori tinggi (lemak dan gula).

“Makanan ringan seperti pisang goreng, cekodok, karipap, cucur udang, donat bersalut krim atau gula, rojak (pasembor) dan keropok lekor antara makanan ringan tinggi kalori yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak yang tidak aktif.

“Ibu bapa juga perlu berjaga-jaga terhadap makanan ringan popular seperti teh buih, paf krim, pastri, kerepek kentang dan minuman yogurt memandangkan kandungan kalori di dalamnya mungkin sama dengan hidangan utama,” katanya sambil menambah ibu bapa perlu mengehadkan jumlah dan kekerapan pengambilan makanan ringan seumpama itu.

Lau menyarankan makanan ringan berprotein tinggi seperti kekacang, biji-bijian, bijirin dan yogurt biasa berbanding minuman manis untuk kanak-kanak aktif.

“Untuk kanak-kanak yang tidak begitu aktif, ibu bapa boleh memberikan buah-buahan sebagai makanan ringan mereka di antara waktu makan,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan sihat dengan mengamalkan tabiat pemakanan sihat sejak kecil.

Katanya adalah normal bagi kanak-kanak terutama berusia dua tahun ke bawah bersikap cerewet kerana mereka sedang mempelajari sesuatu yang baharu (makanan) dalam hidup mereka.

“Sekiranya mereka tidak mahu menjamah makanan itu sekali atau dua kali atau memuntahkan makanan dalam setiap hidangan, itu tidak bermakna mereka tidak menyukai makanan tersebut.

“Adalah wajar bagi ibu bapa untuk memperkenalkan semula makanan kepada anak-anak berulang kali selagi makanan itu penting untuk kanak-kanak dalam peringkat pertumbuhan mereka. Mulakan dengan hidangan kecil dan berhati-hati jika mereka menunjukkan sikap tidak bertoleransi atau alahan terhadap makanan yang diperkenalkan," katanya.

Malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak boleh terjadi terutama kanak-kanak yang kekurangan berat badan atau obes iaitu mereka mungkin tidak mendapat nutrien yang mencukupi yang penting bagi pertumbuhan.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan, ibu bapa sentiasa boleh mengetahui lebih awal dengan mengukur berat dan ketinggian anak-anak di rumah menggunakan carta pertumbuhan untuk memantau pertumbuhan.

“Jangan ragu untuk berunding dengan pakar pediatrik dan pakar diet anda jika anda ada sebarang masalah pertumbuhan dan diet untuk orang yang anda sayangi," katanya.

Pusat Perubatan Sunway mengambil pendekatan holistik untuk menyaring, mencegah, mendiagnos, merawat dan mengurus sebarang isu kesihatan melibatkan kanak-kanak.

Pusat perubatan itu akan melakar kejayaan dengan pembukaan Menara D, yang akan menempatkan Pusat Kesihatan Kanak-kanak dan jabatan kemalangan dan kecemasan khusus untuk kanak-kanak sekali gus mentransformasikan pusat perubatan itu kepada lebih 1,000 katil, mengukuhkannya sebagai hospital kuaternari terbesar di Malaysia.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan