EKONOMI

NEXTGREEN METERAI USAHA SAMA BANGUN DAN URUS 20 PUSAT KUMPUL, PROSES SISA SAWIT

03/04/2023 09:33 PM

KUALA LUMUR, 3 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Nextgreen Global Bhd, Nextgreen Biomass Sdn Bhd menandatangani perjanjian pemegang saham untuk membangunkan dan menguruskan 20 pusat pengumpulan dan pemprosesan sisa kelapa sawit di seluruh Malaysia.

Perjanjian itu dimeterai dengan Greentech Malaysia Alliances Sdn Bhd (GTMASB), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd (Koop Sahabat) dan Koperasi Perkhidmatan Setia Bhd.

Pengarah Urusan Nextgreen Global, Datuk Lim Thiam Huat berkata perjanjian itu bertujuan mewujudkan usaha sama menerusi syarikat tujuan khas (SPV) yang dipanggil GTC Biomass Bhd dengan Nextgreen Biomass memegang 65 peratus kepentingan ekuiti, GTMASB sebanyak 10 peratus, Koop Sahabat dengan 18 peratus manakala Koperasi Perkhidmatan Setia Bhd pula 7.0 peratus.

Dalam satu sidang media pada Isnin, beliau berkata Nextgreen Biomass akan menyediakan peluang pelaburan bagi membina pusat itu, dan melalui syarikat berkaitannya, Nextgreen Pulp & Paper Sdn Bhd, ia bertanggungjawab membeli semua sisa atau derivatif kelapa sawit dari pusat itu.

“Kami menyasar untuk membina empat pusat pertama dalam tempoh dua tahun akan datang. Setiap pusat pengumpulan dan pemprosesan itu akan mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 450,000 tan tandan buah kosong proses setiap tahun.

“Kami akan melabur kira-kira RM50 juta bagi setiap satu pusat itu,” katanya.

Lim berkata 10 daripada 20 kemudahan itu akan dibangunkan di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing lima pusat di Sabah dan Sarawak dengan semuanya dijangka siap dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang.

Empat pusat pertama telah dikenal pasti akan dibina di Gua Musang, Kelantan, dengan majlis pecah tanah pada Mei.

Taman Teknologi Hijau (GTP) itu akan dibangunkan di Pekan Pahang dan dua lagi di Kota Tinggi, Johor dan Sungai Koyan, Pahang.

Beliau berkata setiap pusat akan meliputi kira-kira 15 kilang kelapa sawit manakala lokasi lain telah dikenal pasti namun masih belum disahkan.

GTP, digelar sebagai inisiatif pertama dunia untuk menukar sisa kelapa sawit kepada pulpa, apabila siap akan menerima 1.8 juta tan bahan mentah untuk mengeluarkan 400,000 tan pulpa, katanya.

Mengenai pembiayaan, Lim berkata GTMASB akan membantu mewujudkan sukuk/bon RM200 juta untuk membangunkan empat pusat pengumpulan dan pemprosesan sisa kelapa sawit dan Koop Sahabat akan mengetuai dan bekerjasama dengan pihak lain bagi mendapatkan pendanaan daripada orang ramai untuk melabur dalam SPV itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan