SUKAN

PENANG FC CUBA KEKAL MOMENTUM UNTUK PERLAWANAN SETERUSNYA

10/04/2023 10:38 AM

GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Penang FC akan berusaha mengekalkan momentum bagi meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang selepas berjaya menewaskan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih Penang FC Manzoor Azwira Abd Wahid berkata beraksi pada bulan puasa bukanlah suatu perkara yang mudah kerana pemain memerlukan tenaga secukupnya untuk menentang pihak lawan. 

"Nak dapatkan konsistensi bukan mudah tetapi saya dan pemain akan cuba sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC Azzmi Aziz berkata kesilapan individu punca pasukannya tewas kepada pihak lawan.

"Pemain kita dibolosi pihak lawan. Apa pun, pemain kita sudah mencuba sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata pasukan Sang Saka Biru perlu meningkatkan prestasi terutama di bahagian serangan bagi membolehkan mereka memenangi perlawanan seterusnya.

Selepas menewaskan PDRM FC 4-2 semalam, skuad Harimau Kumbang berjaya melonjak dua tangga ke kedudukan kelapan Liga Super 2023 dan dijadualkan menentang Kelantan United FC pada 18 April ini di Stadium Bandaraya.

Sang Saka Biru yang berada di tangga ketujuh liga akan berhadapan dengan Johor Darul Ta'zim yang berada di tangga pertama pada 19 April di Stadium MBPJ.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan