AM

PM Anwar Sertai Qiyamullail Perdana Di Masjid Putra

15/04/2023 09:38 AM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal pagi ini menyertai majlis Qiyamullail Perdana di Masjid Putra, di sini.

Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Majlis qiamullail berjemaah pada kira-kira 4.40 pagi itu dimulakan dengan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat dan solat hajat yang dipimpin oleh imam jemputan iaitu Hanif Azmir Hassim sebelum disusuli dengan sahur.

Pengisian acara seterusnya yang turut disertai Anwar dan jemaah lain ialah solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh imam jemputan iaitu Ahmad Fairuz Nazaruddin dan tausiyah subuh yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional  Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

Majlis Qiyamullail Perdana anjuran JAKIM itu dihadiri kira-kira 2,000 jemaah yang memanfaatkan baki 10 malam terakhir Ramadan yang suci dan penuh keberkatan untuk beribadah.

Majlis seumpama itu juga diadakan bagi mengimarahkan masjid serta mendorong umat Islam untuk terus beristiqamah melakukan ibadah qiamullail demi pembinaan diri dan pembersihan jiwa.

Majlis Qiyamullail Perdana itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV AlHijrah dan laman Facebook JAKIM.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan