DUNIA

ASEAN laksanakan kajian semula komprehensif terhadap 5pc di Myanmar

28/07/2024 12:51 AM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- ASEAN akan melaksanakan kajian semula yang komprehensif terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) tiga tahun selepas ia diterima pakai untuk mencapai penyelesaian yang aman dan mampan terhadap krisis di Myanmar.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) di Vientiane, Laos, menteri-menteri luar ASEAN berkata mereka membincangkan perkembangan di Myanmar dan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan konflik dan situasi kemanusiaan.

“Kami menegaskan kesepakatan pendirian kami bahawa 5PC Pemimpin ASEAN kekal sebagai rujukan utama untuk menangani krisis politik di Myanmar.

Kami akan melaksanakan kajian semula komprehensif terhadap pelaksanaan 5PC dan mengemukakan cadangan kami kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 (di Laos pada Oktober),” katanya.

Laos adalah Pengerusi ASEAN tahun ini. Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta mesyuarat berkaitan dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober.

5PC dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada April 2021, dua bulan selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi.

5PC adalah penghentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.

Sementara itu, menteri-menteri luar menyatakan penghargaan khusus kepada Alounkeo Kittikhoun, Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, atas dedikasinya dalam melaksanakan 5PC.

“Kami menghargai usahanya untuk terus berhubung dengan pihak berkaitan secara mampan dan yakin dengan keazamannya untuk membantu rakyat Myanmar mencapai penyelesaian aman yang inklusif dan berpanjangan yang diketuai dan dimiliki oleh Myanmar untuk keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Menteri-menteri luar juga mengalu-alukan perundingan tidak rasmi yang diadakan oleh Pengerusi ASEAN semasa, sebelumnya, dan akan datang mengenai pelaksanaan 5PC semasa AMM Ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan.

Mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang berterusan terhadap orang awam dan kemudahan awam dan menyeru agar ia dihentikan serta-merta di Myanmar.

Mereka juga menggesa semua pihak yang terlibat mengambil tindakan konkrit untuk segera menghentikan keganasan tanpa diskriminasi, mengecam sebarang peningkatan krisis, menahan diri sepenuhnya, memastikan perlindungan dan keselamatan semua orang awam serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk penyaluran bantuan kemanusiaan dan dialog nasional yang inklusif.

Menteri-menteri luar juga mengalu-alukan kemajuan dalam menyediakan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (Pusat AHA).

“Sehingga 10 Julai tahun ini, bantuan kira-kira US$1.88 juta telah diagihkan di bawah Fasa 2 tindak balas. Bantuan ini termasuk barangan makanan seperti beras, kekacang, minyak, dan garam, serta barangan bukan makanan seperti kit kebersihan keluarga dan peribadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan