DUNIA

As, Arab Saudi Bincang Projek Kereta Api Untuk Hubung Asia Barat

08/05/2023 02:21 PM

ISTANBUL, 8 Mei (Bernama-Anadolu) -- Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan India akan membincangkan projek bersama untuk menghubungkan negara-negara Teluk, negara Arab dan India melalui rangkaian kereta api, menurut laman sesawang berita Amerika. 

"Penasihat keselamatan AS, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan India pada Ahad membincangkan kemungkinan menjayakan projek infrastruktur bersama utama itu," menurut Axios, memetik dua sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai rancangan itu.

Projek itu merupakan antara inisiatif utama yang mahu dilaksanakan oleh Rumah Putih di Asia Barat susulan pengaruh China yang semakin berkembang di rantau itu, menurut laman sesawang berkenaan.

Asia Barat merupakan kawasan penting dalam inisiatif Jalur dan Jalan China, satu projek besar China yang dibina di atas runtuhan Jalan Sutera purba, bertujuan untuk menghubungkan China dengan seluruh dunia melalui pembinaan infrastruktur.

Seorang pegawai AS yang tidak dinamakan memberitahu Axios bahawa projek kereta api itu akan menjadi antara topik perbincangan semasa lawatan Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan ke Arab Saudi.

“Sullivan akan berbincang dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan pegawai Saudi yang lain mengenai hubungan dua hala antara Arab Saudi dan AS, isu serantau dan kemungkinan langkah normalisasi selanjutnya hubungan antara Arab Saudi dan Israel,” menurut seorang lagi pegawai.

Belum ada sebarang ulasan daripada para pegawai dari empat negara berkenaan mengenai laporan AS itu.

--BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan